Memperhalus Manhaj IM Dengan ‘Manhaj Nabawi’ (Bahagian II)

Dalam artikel yang terdahulu, saya telah membandingkan maratib al-amal yang telah digariskan oleh Imam Hasan al-Banna dengan gagasan reformasi yang dihuraikan oleh Imam al-Ghazali, yang mana kedua-duanya bermula dari peringkat individu hinggalah berakhir dengan tertegaknya Islam di peringkat global.

Saya turut menghuraikan dengan ringkas waqi’ semasa gerakan Islam di Malaysia yang mengikuti manhaj Ikhwanul Muslimin (IM), yang mana seakan-akan ‘tersekat’ di maratib al-amal yang ke-3—iaitu di peringkat pembinaan masyarakat Muslim—lantaran ketiadaan amal yang benar-benar berkesan (muntij). Mungkin hal inilah yang menyebabkan ada gerakan yang bermanhaj IM menerima ideologi asing (iaitu demokrasi) sebagai jalan perubahan melalui arena politik.

sept_eleven1140op
September 11, 2001. Tarikh keramat yang menjadi titik mula musuh Islam dari Barat melancarkan serangan demi serangan terhadap dunia Islam, dengan berselindung di sebalik kempen ‘War on Terror‘.

Turut dibincangkan ialah pengertian ‘reformasi agama’ (tajdid ad-din) yang lebih tepat, yang diringkaskan daripada satu artikel yang dikongsikan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang berjudul “Isu-Isu Pemikiran Dalam Epistemologi Tajdid al-Din“.

Pada bahagian akhir artikel tersebut, saya telah menerangkan tentang ‘Manhaj Nabawi’a berdasarkan ayat 11 Surah ash-Shaff, yang mana dapat juga diketahui jika kita meneliti beberapa tahap perjuangan yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. & para sahabat Baginda sepanjang 23 tahun Kenabian, serta kesinambungan perjuangan Islam yang terus berlaku selepas kewafatan Baginda.

‘Manhaj Nabawi’ sebagai manhaj perubahan, terdiri daripada 3 peringkat ataupun fasa iaitu:

Fasa 1: Beriman kepada Allah & Rasul-Nya
Fasa 2: Berjuang di jalan Allah dengan harta
Fasa 3: Berjuang di jalan Allah dengan jiwa

Dalam artikel ini, saya akan membawakan pemikiran Imam al-Ghazali (melalui tulisan Dr. Majid Irsan Kaylani) & pandangan Syeikh Mustafa Masyhur (melalui terjemahan tulisan beliau sendiri) berkenaan fasa perubahan ini. Saya juga akan cuba menyepadukan antara 7 maratib al-amal yang dijelaskan oleh Imam Hasan al-Banna dengan 3 fasa ‘Manhaj Nabawi’.

PEMIKIRAN IMAM AL-GHAZALI

Ringkasan Latar Belakang

Dalam buku “Rahsia Kejayaan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Tangan Umat Islam”, Dr. Majid Irsan Kaylani (Dr. Kaylani) cuba menjawab kritikan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Imam al-Ghazali tidak cakna dengan ancaman dari luar (tentera Salib) yang menggugat dunia Islam ketika itu—yakni dengan mengasingkan diri dari terlibat secara langsung dalam mempertahankan umat Islam. Hal ini turut terbukti dalam tulisan beliau, “Ihya’ Ulumuddinb, yang membahaskan semua permasalahan kecuali masalah jihad.1

Dr. Kaylani mengemukakan 3 hujah untuk mematahkan kritikan tersebut, yang diringkaskan sebagaimana berikut:2

1) Imam al-Ghazali telahpun membahaskan permasalahan jihad dalam sebuah karya lain yang diberi judul “Amar Ma’ruf & Nahi Munkar“.
2) Imam al-Ghazali memahami pengertian jihad dalam makna yang lebih universal berserta tahap-tahapnya, iaitu: jihad pendidikan, jihad pentadbiran & jihad ketenteraan.
3) Lantaran ‘keadaan dalaman’ umat Islam yang berkecamuk pada zamannya, Imam al-Ghazali memfokuskan gerakan reformasinya pada tahap yang pertama (iaitu jihad pendidikan) terlebih dahulu, yang mana akan menyediakan asas yang kukuh untuk mengharungi tahap ke-2 & tahap ke-3. Ia merangkumi 4 sektor iaitu: mengkritik para pemerintah yang berlaku zalim, memerangi materialisme, menyeru kepada menegakkan keadilan sosial & memerangi arus pemikiran yang sesat.

4 sektor dalam jihad pendidikan Imam al-Ghazali sangat relevan untuk diperhatikan & dikupas dalam konteks zaman kita ini.

saddam_palace1140op
Mac 21, 2003. Hari ke-3 Operasi Pencerobohan Iraq. Serangan udara secara blitz oleh tentera bersekutu yang diketuai AS ke atas Istana Presiden di Baghdad.

Petikan Ulasan Dr. Kaylani

Saya kumpulkan di bawah ini beberapa petikan yang saling berkaitan & relevan dengan tujuan penulisan artikel ini, berdasarkan poin (1) & (2) dalam hujah balas oleh Dr. Kaylani.

Sebahagian daripada poin (1) menyebut tentang pemahaman Imam al-Ghazali terhadap isu jihad:

Dari cara al-Ghazali menyediakan penyelesaian terhadap berbagai-bagai permasalahan sosial, dapat dilihat bahawa sikapnya terhadap jihad memiliki dua ciri, iaitu pertama, bahawa pengertian jihad menurut al-Ghazali (dia adalah benar dalam hal ini) bukanlah sekadar mempertahankan kaum, negeri & hak milik, akan tetapi [—ciri yang kedua—] ia hanyalah sebagai media untuk mengembangkan misi amar ma’ruf & nahi munkar, yang mana misi tersebut merupakan penyebab hakiki wujudnya umat Islam.

Apabila masyarakat yang sezaman dengan al-Ghazali berhenti menjalankan misi ini, di dalamnya sangat mudah berlaku kemungkaran, & kepimpinannya dipegang oleh seorang khalifah yang menganggap hilangnya ‘seekor burung merpati berwarna belang-belang’ lebih penting daripada hilangnya kota-kota suci & negeri-negeri Islam, serta kantong besar berisi tengkorak & rambut yang terpotong-potong oleh pedang tentera salib, & pada waktu itu perhatian sebahagian besar masyarakat hanya pada pakaian, makanan & nikah sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Syamah.

Maka sesungguhnya setiap dakwah untuk melakukan jihad secara ketenteraan tidak akan bermanfaat sama sekali kecuali didahului oleh jihad diri sendiri yang merubah keadaan yang ada pada diri sesuatu kaum & menjadikan mereka menyelami erti pengorbanan jiwa & harta pada jalan Allah SWT.3

Kemudian dijelaskan tahapan jihad yang sepatutnya dilalui oleh umat Islam:

Sesungguhnya al-Ghazali benar-benar telah mengerti makna jihad yang universal & tahap-tahapnya. Jihad memiliki tiga tahap, iaitu: jihad pendidikan, jihad pentadbiran negara & jihad ketenteraan.

Pemahaman yang benar serta perlaksanaan yang tepat bagi ketiga-tiga tahap ini merupakan salah satu aspek hikmah yang Allah SWT jadikan cara utama dalam berdakwah kepada jalan-Nya, ketika Dia Berfirman:

an-nahl-16_125_part

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah & pelajaran yang baik & bantahlah mereka dengan cara yang baik…

[Surah an-Nahl, 16: 125]

Maka seruan kepada jihad ketenteraan & pergerakan umat untuk kepentingan itu di dalam umat yang sudah ‘meninggal’, yang di dalamnya ‘pola pemikiran & orang’ berputar pada asas ‘benda’ akan seperti membangkitkan orang-orang mati dari dalam kuburnya. Oleh sebab itu, segala usaha yang dilakukan oleh para khatib, da’i & penulis di dunia Islam sekarang, untuk membangkitkan umat Islam, sama sekali tidak menghasilkan apa-apa kecuali melahirkan rasa putus asa & kegagalan bagi masyarakat, selagi usaha tersebut tidak didahului oleh ‘pendidikan secara hikmah’ yang mampu menciptakan ‘pemimpin politik & tentera’ yang benar-benar memahami & menguasai persiapan jihad ketenteraan serta segala komponennya yang terdiri dari manusia, material & jiwa.4

khazer_refugee_camp1140op
November 29, 2016. Kem Pelarian Khazer. Tempat perlindungan bagi penduduk Mosul yang meninggalkan bandar yang sedang dikuasai oleh Daesh itu.

PANDANGAN SYEIKH MUSTAFA MASYHUR

Ringkasan Latar Belakang

Syeikh Mustafa Masyhur ialah Mursyidul Am IM yang ke-5. Beliau meninggal dunia pada tahun 2002. Ringkasan biografinya boleh dibaca di pautan ini, yang ditulis oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, seorang murabbi dalam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Dalam sebuah buku kecil yang diberi judul “Kesatuan ‘Amal Islami dalam Sebuah Negara”, Syeikh Mustafa Masyhur mengingatkan para pemimpin jemaah Islam tentang kepentingan memilih manhaj amal yang betul bagi mencapai sesuatu matlamat, agar setiap tenaga, waktu & pengorbanan pengikut-pengikutnya menghasilkan kebaikan kepada Islam & masa depannya.5

Beliau menegaskan bahawa pelan tindakan yang dibuat mestilah berdasarkan jalan yang pernah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. & para sahabat Baginda dalam mendirikan Daulah Islamiyyah yang pertama.6 Beliau kemudiannya menghuraikan jalan tersebut berdasarkan sirah berserta hujah yang berkaitan daripada al-Quran.

Petikan Tulisan Syeikh Mustafa Masyhur

Berikut adalah beberapa petikan, yang merangkumi perjuangan Rasulullah s.a.w. di Mekah & Madinah, yang relevan dengan tujuan penulisan artikel ini:

Apabila kita kembali kepada sejarah, [dalam fasa Mekah,] Rasulullah s.a.w. adalah orang pertama yang bersungguh-sungguh membersihkan akidah tauhid & menghilangkannya dari syirik kerana akidah tauhid adalah asas pembinaan peribadi muslim, keluarga, masyarakat, kerajaan & negara Islam. Rasulullah s.a.w mengambil berat terhadap tarbiyyah, menyediakan rijal-rijal akidah & tentera dakwah.

Ayat-ayat al-Quran diturunkan pada waktu itu memusatkan dalam permasalahan keimanan kepada Allah, hari akhirat & mengenai pembersihan akidah. Kemudian arahan supaya meninggalkan adat-adat jahliyyah & bersifat dengan sifat-sifat akhlak Islamiyyah yang mulia. Berpesan-pesan dengan sabar, berpesan-pesan dengan kebenaran & menyediakan jiwa berhadapan dengan peperangan antara kebenaran & kebatilan.7

Dalam perenggan yang lain, ditulis:

Baginda menyediakan pemusatan kekuatan yang akan menjadi tonggak berdiri di atasnya binaan-binaan. Baginda mendidik para sahabat di madrasahnya dengan hidangan al-Quran & dengan amalan qiamullail sebagai bekalan membawa amanah berat yang dipertanggungjawabkan ini.

Firman Allah SWT:

al-muzzammil-73_1-5

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, kecuali sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat), (iaitu) separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari sepatuh itu, ataupun lebihkan sedikit daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan ‘tartil’, (sayugia engkau & pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu wahyu (al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

[Surah al-Muzzammil, 73: 1-5]

Inilah persediaan yang penting bagi menghadapi beban perjuangan & keperitan perjalanan. Rasulullah s.a.w. & para sahabat berterusan dalam menyebarkan dakwah Allah Ta’ala & menyampaikan kepada manusia walaupun ditekan & disakiti.

aleppo-great-mosque1140op
April, 2013. Masjid Agung Umayyah, Aleppo, Syria. Kesan kemusnahan akibat pertempuran yang tercetus di sini. Adakah di menara masjid ini Nabi Isa a.s. akan turun kelak?

Kemudian, setelah Baginda & para sahabat berhijrah ke Madinah, Baginda telah melaksanakan beberapa perkara yang penting bagi pembentukan sebuah masyarakat baru bertunjangkan Islam.

Perkara utama yang diambil berat oleh Baginda ialah dengan membina masjid yang dianggap sebagai institusi penting dalam pembinaan & pembentukan asas Islam yang kukuh.

Perancangan utama berikutnya ialah Baginda mengadakan satu ikatan akidah & persaudaraan kerana Allah. Rasulullah s.a.w. telah mempersaudarakan antara orang-orang Muhajirin dengan orang-orang Ansar. Al-Quran telah mencatat gambaran persaudaraan ini dalam Firman Allah Ta’ala:

al-hasyr-59_9

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, & tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu; & mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan & sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

[Surah al-Hasyr, 59: 9]

Rasulullah s.a.w. menggalakkan para sahabat melakukan latihan memanah, berenang & menunggang kuda kerana menyahut suruhan Allah Ta’ala:

al-anfal-8_60_part

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan …

[Surah al-Anfal, 8: 60]

Kemudian Allah menghendaki kader-kader itu berada dalam peperangan Badar, menjadikan peperangan bermatlamat & bukannya sebagai pengecut, serta Baginda mahu mereka mengangkat bendera jihad selepas orang-orang Islam telah tersusun dengan tapak kekuatan iman, kasih-sayang, berpegang antara satu sama lain & Allah telah menurunkan ke atas mereka kemenangan, sepertimana Firman Allah Ta’ala:

al-hajj-22_39

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai; & sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

[Surah al-Hajj, 22: 39]

Dengan keterangan ringkas ini, kita melihat bahawa asas perubahan membentuk Daulah Islamiyyah yang pertama ialah kekuatan akidah & iman, kemudian kekuatan kesatuan & persaudaraan & kemudiannya kekuatan ketenteraan. Inilah tertib susunannya.9

MENGHARMONIKAN 3 FASA

Imam al-Ghazali menggariskan 3 tahapan jihad, iaitu:

1) jihad pendidikan,
2) jihad pentadbiran negara, &
3) jihad ketenteraan.

Syeikh Mustafa Masyhur pula menjelaskan 3 bentuk kekuatan yang mesti dibentuk mengikut tertibnya sebagai asas perubahan membentuk Daulah Islamiyyah, iaitu:

1) kekuatan akidah & iman,
2) kekuatan kesatuan & persaudaraan, &
3) kekuatan ketenteraan.

Manakala berdasarkan ayat ke-11 Surah ash-Shaff, kita boleh merumuskan 3 fasa perubahan yang berikut:

Fasa 1: Beriman kepada Allah & Rasul-Nya
Fasa 2: Berjuang di jalan Allah dengan harta
Fasa 3: Berjuang di jalan Allah dengan jiwa

aleppo_dec16_1140op
Disember 13, 2016. Aleppo Timur. Penduduk yang terselamat daripada serangan bertalu-talu oleh tentera Bashar al-Assad melalui sebatang jalan untuk keluar dari bandar tersebut.

Tahapan jihad yang digariskan oleh Imam al-Ghazali & pembentukan kekuatan yang ditekankan oleh Syeikh Mustafa Masyhur menepati 3 fasa perubahan yang dapat disimpulkan daripada ayat ke-11 Surah ash-Shaff. Walaupun fasa yang ke-2 kelihatan berbeza, ia hanyalah perbezaan daripada segi istilah; makna yang boleh difahami daripada istilah tersebut tetap merujuk kepada tema yang sama, iaitu pengorbanan harta.

Jika dilihat secara keseluruhan pula, ayat ke-11 Surah ash-Shaff menekankan amal praktikal yang perlu umat Islam lakukan, Syeikh Mustafa Masyhur pula menyebut tentang natijah daripada amal tersebut, manakala Imam al-Ghazali pula memberi pandangan berdasarkan aspek utama kehidupan manusia.

Berikut dirumuskan secara ringkas pemikiran Imam al-Ghazali & Syeikh Mustafa Masyhur berdasarkan ayat ke-11 Surah ash-Shaff:

Fasa 1: Beriman kepada Allah & Rasul-Nya. Inilah jihad pendidikan yang perlu diutamakan, yang turut terangkum dalamnya ialah memahami Rukun Iman dengan sempurna, membetulkan salah faham mengenai Islam di kalangan umat Islam sendiri, membasmi ajaran sesat, menapis ideologi yang berasal dari Barat, serta menangkis & mengubati racun serangan pemikiran. Natijah yang diinginkan daripada fasa ini ialah kekuatan akidah & iman, yang mana akan mempengaruhi segala tindakan yang akan diambil pada Fasa 2 & Fasa 3.

Fasa 2: Berjuang di jalan Allah dengan harta. Fasa ini melibatkan aspek pentadbiran negara, yang banyak berlegar di sekitar pengurusan harta (ataupun ekonomi), bagi memperbaiki segala kerosakan yang berlaku di dalamnya. Ia berkait rapat dengan waqi’ semasa yang sedang dilalui oleh seluruh umat manusia ketika ini, yang huraiannya perlu satu artikel yang khusus (bahkan mungkin sebuah buku diperlukan), insya-Allah akan diusahakan. Secara ringkasnya, majoriti masalah yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini berpunca daripada sistem ekonomi riba yang rosak lagi merosakkan. Pengorbanan harta seelok-eloknya dimulakan oleh golongan pemimpin yang dilantik supaya para pengikutnya boleh mencontohi amalan tersebut. Namun ia boleh juga dimulakan oleh rakyat biasa jika pemimpin yang dilantik enggan untuk turut serta. Ia perlu dilakukan secara bermuafakat supaya harta yang diperuntukkan sampai kepada golongan sasaran. Harta itu juga perlu digunakan untuk membangunkan ekonomi Islam, yang terpisah daripada ekonomi riba. Instrumen ekonomi Islam iaitu zakat & waqaf perlu digunakan sebaik mungkin. Natijah yang diinginkan daripada fasa ini ialah kekuatan kesatuan & persaudaraan, di samping amannya masyarakat daripada belenggu ekonomi serta masalah sosial.

Fasa 3: Berjuang di jalan Allah dengan jiwa. Fasa ini adalah self-explanatory. Ia melibatkan pengerahan kekuatan & jihad ketenteraan. Antara topik yang perlu difahami sebelum memasuki fasa ini adalah bagaimana Allah memenangkan golongan yang sedikit & serba kekurangan dari segi persiapan fizikal. Ia berkait rapat dengan keimanan yang dibentuk dalam Fasa 1 & diperteguhkan melalui pengorbanan harta yang dilakukan dalam Fasa 2.

Dalam pandangan saya, penerangan yang dibuat oleh Syeikh Mustafa Masyhur berkenaan 3 fasa ini sudah cukup baik. Huraian saya adalah sekadar satu usaha untuk menserasikan antara pandangan beliau dengan pandangan Imam al-Ghazali, serta pelajaran daripada ayat ke-11 Surah ash-Shaff.

Bagi mendapatkan perincian yang lebih menepati al-Quran & Sunnah bagi setiap fasa, bolehlah rujuk kepada asatizah yang berkelayakan ataupun menekuni karya-karya ulama yang muktabar, dalam topik yang berkaitan.

PENYEPADUAN MARATIB AL-AMAL & ‘MANHAJ NABAWI’

Imam Hasan al-Banna telah menggariskan 7 maratib al-amal yang perlu dilalui oleh mereka yang mengikuti manhaj IM, bermula daripada Individu Muslim hinggalah kepada Ustaziatul Alam.

Apabila dipadankan dengan ‘Manhaj Nabawi’ yang telah dibincangkan sebelum ini, 7 maratib al-amal IM boleh dikategorikan dalam 3 fasa, dengan Fasa 1 merangkumi maratib Individu Muslim & Baitul Muslim, Fasa 2 merangkumi maratib Masyarakat Muslim, Tanahair Islam, & Kerajaan Islam, manakala Fasa 3 merangkumi maratib Negara Islam & Ustaziatul Alam. Semua ini diringkaskan dalam gambarajah yang berikut.

manhaj_nabawi
Menyaring maratib al-amal IM dengan acuan ‘Manhaj Nabawi’.

Saya akan cuba menjelaskan 7 maratib al-amal berdasarkan 3 fasa dalam ‘Manhaj Nabawi’.

Dalam Fasa 1, setiap individu Muslim perlu ditarbiyah supaya ia benar-benar faham erti beriman kepada Allah SWT & Rasul-Nya, termasuklah juga rukun iman yang lain. Pentarbiyahan itu kemudiannya perlu dipanjangkan kepada ahli keluarganya, & saudara mara terdekatnya. Setiap individu yang telah menerima tarbiyah perlu pula mendidik hawa nafsunya, melalui ibadah seperti qiamullail & puasa. Penghayatan yang benar terhadap makna keimanan & penguasaan ke atas hawa nafsu akan memudahkan perlaksanaan amalan dalam Fasa 2 & Fasa 3.

Dalam Fasa 2, setiap individu Muslim yang sudah menghayati makna keimanan akan mula melakukan pengorbanan harta, & dalam masa yang sama tidak meninggalkan tugas menyeru masyarakat supaya beriman kepada Allah SWT & mengajak mereka untuk turut melakukan pengorbanan harta. Harta yang dikumpulkan diagihkan kepada golongan asnaf melalui instrumen zakat, serta digunakan untuk membangunkan ekonomi Islam melalui instrumen waqaf supaya akhirnya umat Islam & tanahair mereka bebas daripada cengkaman ekonomi riba. Dengan melaksanakan kaedah bottom-up ini, sebuah Kerajaan Islam yang kukuh & stabil bakal terbentuk, insya-Allah.

Dengan terbentuknya sebuah Kerajaan Islam, ia akan beransur-ansur menuju ke Fasa 3, bermula dengan Negara (Daulah) Islam & seterusnya Ustaziatul Alam. Negara Islam akan terbentuk apabila umat Islam di seluruh dunia berada di bawah naungan satu pemerintahan, yakni Khalifah. Untuk tujuan tersebut, dengan mengambil kira waqi’ semasa yang berlaku di dalam dunia Islam, Kerajaan Islam yang terbentuk perlu menamatkan perang saudara yang berlaku antara sesama umat Islam, serta membebaskan mereka daripada pencerobohan & percaturan politik oleh pihak musuh. Sesudah itulah umat Islam akan memacu perjuangannya ke peringkat global secara menyeluruh. Perlu ditekankan di sini bahawa, walaupun sudah berada dalam Fasa 3, umat Islam pada waktu itu masih perlu meneruskan segala amal yang dikerjakan pada Fasa 1 iaitu menyeru manusia supaya beriman kepada Allah SWT & Rasul-Nya, & amal pada Fasa 2 iaitu melakukan pengorbanan harta, bertujuan untuk membina keadilan sejagat.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali, ketiga-tiga fasa ini dilaksanakan bagi memenuhi misi utama kewujudan umat Islam itu sendiri sebagai pewaris risalah kebenaran, iaitu amar ma’ruf & nahi munkar. Ia dalam kerangka beribadah kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya serta meninggalkan perkara yang dilarang-Nya, demi mengharap keredhaan-Nya.

Berdasarkan pemerhatian terhadap umur dunia ini yang sudah hampir sampai ke penghujungnya yang diisyaratkan melalui tanda-tanda kecil menjelang kedatangan kiamat, maka kita boleh mengantisipasi kehadiran Imam Mahdi & turunnya Nabi Isa a.s. dalam Fasa 3 ‘Manhaj Nabawi’.

rohingya_marketburnt1140op
November 25, 2016. Pasar di sebuah perkampungan etnik Rohingya di luar bandar Maungdaw, negeri Rakhine, Myanmar, hangus dibakar.

MERUNGKAI KEBUNTUAN YANG DIHADAPI OLEH GERAKAN ISLAM

Seperti yang telah dijelaskan dalam artikel lalu, kebanyakan gerakan Islam bermanhaj IM di Malaysia kini berada dalam maratib al-amal yang ke-3, bersamaan dengan Fasa 2 ‘Manhaj Nabawi’, & seakan-akan tersekat dalam maratib ini. Hal ini berlaku, antara lainnya kerana, tumpuan yang berlebihan kepada arena politik, ketiadaan amal yang berkesan (muntij), & serangan pemikiran yang meracuni segelintir aktivis gerakan Islam.

Keberhasilan serangan pemikiran oleh musuh-musuh Islam dari Barat menunjukkan bahawa masih ada pelajaran yang masih belum beres ataupun gagal difahami & dihayati sepenuhnya oleh aktivis gerakan Islam, yang sepatutnya dihadam dalam Fasa 1 ‘Manhaj Nabawi’. Hal ini menuntut kita untuk kembali merenung, memahami & menghayati topik-topik asas yang menyentuh soal akidah & keimanan kepada Allah SWT & Rasul-Nya, serta Rukun Iman yang lain. Jihad pendidikan ini—meminjam istilah yang digunakan Imam al-Ghazali—perlu diusahakan dengan penuh teliti & bersungguh-sungguh.

Sekali lagi ingin ditegaskan di sini bahawa, pemahaman & penghayatan yang benar terhadap soal akidah & keimanan dalam Fasa 1, akan menghasilkan tindakan yang tepat & bersungguh-sungguh, tanpa sebarang keraguan, dalam Fasa 2 & Fasa 3.

Fasa 2 ‘Manhaj Nabawi’ menekankan pengorbanan harta, suatu amal yang terbukti berkesan (muntij) dalam mengubah masyarakat, berdasarkan sirah Rasulullah s.a.w & kisah pembentukan generasi Nuruddin al-Zinki & Salahuddin al-Ayyubi, yang mana kesan itu sifatnya multidimensi yang akan dihuraikan sebahagiannya di bawah ini. Inilah suatu amal yang boleh memecahkan kebuntuan aktivis gerakan Islam yang berada dalam maratib al-amal yang ke-3 manhaj IM, insya-Allah.

Sebagaimana yang boleh dilihat dalam gambarajah ‘Manhaj Nabawi’ di atas, Fasa 2 menggabungkan 3 maratib al-amal dalam manhaj IM. Ini kerana amal utama yang mendasari Fasa 2 ‘Manhaj Nabawi’, iaitu pengorbanan harta, boleh memberi impak dalam ketiga-tiga maratib ini, secara serentak.

Bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Penjelasan ringkas berikut diharap dapat memandu pemahaman kita.

Dengan pengorbanan hartalah, kita dapat membentuk masyarakat Muslim yang saling berkasih sayang, berkerjasama, tolong-menolong, bermesyuarat (syura) untuk menyelesaikan masalah sesama kita—terutama dalam hal pengagihan rezeki kurniaan Allah SWT kepada golongan yang miskin & lemah.

Dengan pengorbanan harta jugalah, kita dapat membebaskan tanahair ini daripada cengkaman ekonomi riba peninggalan penjajah—sekaligus menamatkan manipulasi & tipu daya politik oleh golongan kufar terhadap umat Islam—kepada ekonomi Islam yang berteraskan kebergantungan (tawakkal) kita kepada Allah SWT.

Dengan pengorbanan harta jugalah, kita dapat membentuk sebuah Kerajaan Islam, yang berdiri teguh dari bawah (sokongan rakyat yang bersatu-padu) hinggalah ke atas (pemimpin yang bertaqwa, zuhud & berwibawa).

Dengan pengorbanan harta jugalah, kita dapat mengubati sepenuhnya komponen pertama penyakit al-wahn, iaitu cintakan dunia. Komponen kedua penyakit al-wahn, iaitu takutkan mati, akan dapat diubati sepenuhnya dalam Fasa 3 ‘Manhaj Nabawi’.

Insya-Allah.

myanmar-rohingya1140op
November 25, 2016. Kanak-kanak etnik Rohingya yang beragama Islam di Kampung U Shey Kya di luar bandar Maungdaw, negeri Rakhine, Myanmar. Siapakah yang akan membela nasib mereka?

PENUTUP

Sebagai penutup, saya bawakan petikan ulasan Syeikh Mustafa Masyhur—yang saya kira sangat jitu—setelah beliau menjelaskan bentuk-bentuk kekuatan yang perlu umat Islam bina mengikut tertib.

Kekuatan akidah & iman adalah asas yang kukuh & pendorong kuat yang perlu dimiliki dalam pemusatan membina satu-satu kekuatan. Kekuatan kesatuan & persaudaraan adalah mengikat individu supaya menjadi binaan-binaan yang tersusun, pegang memegang di antara satu sama lain, & musuh tidak akan mendapati satu lubang pun yang terbuka daripadanya. Sehinggalah apabila mereka berdiri & bangun untuk berjihad, mereka adalah sepertimana Firman Allah Ta’ala:

ash-shaff-61_4

Sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang berperang untuk mempertahankan agamanya, dalam barisan yang teratur rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

[Surah ash-Shaff, 61: 4]

Sesungguhnya kecacatan dalam menyusun urutan kekuatan ini menyebabkan tidak akan tercapai natijah yang diharapkan & tidak pasti binaan tersebut dapat dibangunkan. Sekiranya ia telah tegak sekalipun, maka tidak dapat dipastikan ianya terus kekal & berterusan.

Persaudaraan & berkasih sayang tidak mungkin tercapai dengan gambaran kukuh seperti yang diharapkan, tanpa didahului oleh kebenaran iman yang mendorong kepada berkasih sayang & persaudaraan.

Demikian juga menggunakan kekuatan senjata sebelum tercapainya kesatuan & persaudaraan boleh membawa kepada perselisihan di antara sesama mereka, sehingga sesetengahnya menyerang sesetengah yang lain, dengan menggunakan senjata. Ini akan membawa kepada kemusnahan & kerugian.

Sekiranya kekuatan akidah & iman tidak tercapai sebagaimana yang diharapkan & sekiranya ada jama’ah yang berkerja berdasarkan pada dasar-dasar ciptaan manusia yang tidak berpegang dengan akidah langit yang benar, jangan mengharapkan kebaikan ada di belakangnya.10

Dalam artikel tentang ‘Manhaj Nabawi’ yang selanjutnya, insya-Allah akan saya cuba huraikan, antara lainnya, aplikasi kaedah sulbah dalam masyarakat, kepentingan sifat zuhud, kedudukan kuasa pentadbiran dalam Islam & cara mencapainya—semua ini perlu & sepatutnya berlaku dalam Fasa 2 ‘Manhaj Nabawi’. Juga akan dibincangkan persamaan waqi’ antara zaman Rasulullah s.a.w. diutuskan, zaman sebelum kebangkitan Nuruddin & Salahuddin, & zaman yang mana kita hidup sekarang ini; serta bagaimana dengan perlaksanaan ‘Manhaj Nabawi’ yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w., Allah SWT telah Memuliakan generasi Nuruddin & Salahuddin. Kita juga boleh mendapatkan ganjaran yang sama sekiranya kita tekal menyelusuri jalan tersebut.

Isy kariman au mut syahidan.

Semoga Allah SWT Menyatukan hati-hati kita atas jalan-Nya yang lurus.

Ameen.

WAllahu a’lam.


Rujukan:

[1] Kaylani, Majid Irsan. Rahsia Kejayaan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Tangan Umat Islam. Judul asal dalam Bahasa Arab: Hakadha Zahara Jailu Salahuddin wa Hakadha ‘Adat al-Quds. Terjemahan asal oleh Abdullah Abbas. International Institute of Islamic Thought (IIIT) Malaysia & Thinker’s Library, 2000. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) & Thinker’s Library, 2009. Semakan terjemahan oleh Dr. Ma’ahad Mokhtar, UIAM. Islamic & Strategic Studies Institute (ISSI), 2012. Hlm. 145.

[2] Ibid., hlm. 145-149.

[3] Ibid., hlm. 147-148.

[4] Ibid., hlm. 148.

[5] Masyhur, Mustafa. Kesatuan ‘Amal Islami dalam Sebuah Negara. Terjemahan oleh Ustaz Mansor Yahya, UIAM. Dewan Pustaka Fajar, 2009. Hlm. 47.

[6] Ibid., hlm. 48.

[7] Ibid., hlm. 49-50.

[8] Ibid., hlm. 50-51.

[9] Ibid., hlm. 52-53.

[10] Ibid., hlm. 54-55.

Nota Hujung:

[a] Seperti yang telah dijelaskan dalam artikel yang lepas, saya meletakkan istilah ‘Manhaj Nabawi’ dalam tanda quote, kerana tidaklah layak saya menyandarkan pandangan saya ini dengan suatu istilah yang begitu besar makna zahirnya. Apatah lagi dengan keterbatasan ilmu yang ada dengan saya. Namun, saya berharap penerangan saya menepati maksud sebenar ‘Manhaj Nabawi’. Saya tidak menolak kemungkinan ada huraian lain yang lebih tepat untuk menerangkan istilah ‘Manhaj Nabawi’ ini. WAllahu a’lam.

[b] Sedikit nota berkenaan kitab “Ihya’ Ulumuddin” karangan Imam al-Ghazali. Ilmuwan daripada aliran salaf mengkritik kitab ini kerana mengandungi hadis yang diragui kesahihannya. Kitab ini memang sangat berharga untuk umat Islam, jadi ada di antara mereka yang telah mengambil inisiatif ‘mentahqiq’ (membuat semakan & pembetulan) kitab “Ihya’ Ulumuddin”. Sebagai contoh, sebuah kitab yang diberi judul “Buku Putih Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazali“.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s