Konsep Kesempurnaan Iman

Kebanyakan istilah iman dalam nas al-Quran & as-Sunnah digunakan dengan makna iman yang sempurna, bukan dengan makna iman semata-mata. Jika ia digunakan dengan makna iman semata-mata, apabila iman tersebut dinafikan daripada tuannya, ia bermaksud tuannya telah menjadi kafir.

Hakikat ini dinyatakan secara jelas dalam ayat-ayat al-Quran & hadis nabawi yang sahih. Contohnya, firman Allah SWT:

al-anfal-8_2-4

[2] Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (& sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; & apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, & kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

[3] Iaitu orang-orang yang mendirikan solat & yang mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami Kurniakan kepada mereka.

[4] Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh darjat (yang tinggi) di sisi Tuhannya & ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.

[Surah al-Anfal, 8: 2-4]

Maksud ‘orang-orang yang beriman’ dalam ayat di atas ialah orang yang sempurna imannya. Ia TIDAK bermaksud: Sesiapa yang hatinya tidak gementar apabila disebut nama Allah, atau tidak bertawakkal kepada-Nya, dia telah menjadi kafir; tercabut keimanannya sehingga ke akar umbi.

Contoh lain ialah firman Allah SWT:

al-mukminun-23_1-11_pt1al-mukminun-23_1-11_pt2

[1] Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.

[2] Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya;

[3] Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan & perkataan yang sia-sia;

[4] Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);

[5] Dan mereka yang menjaga kehormatannya,

[6] Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela:

[7] Kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;

[8] Dan mereka yang menjaga amanah & janjinya;

[9] Dan mereka yang tetap memelihara solatnya;

[10] Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi,

[11] (Yakni) yang akan mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

[Surah al-Mukminun, 23: 1-11]

Maksud ‘orang-orang yang beriman’ dalam ayat di atas ialah orang yang sempurna imannya. Ia TIDAK bermaksud: Sesiapa yang solatnya tidak khusyuk, atau tidak meninggalkan perkara sia-sia, dia menjadi kafir. Malah dia tetap seorang yang beriman, tetapi imannya tidak sempurna.

Contoh lain ialah, sabda Rasulullah s.a.w.:

Seorang penzina tidak akan berzina, jika ketika itu dia seorang yang beriman. Seorang peminum arak tidak akan meminum arak, jika ketika itu dia seorang yang beriman. Seorang pencuri tidak akan mencuri, jika ketika itu dia seorang yang beriman.

[Muttafaq ‘alaih]

Hadis di atas tidak bermaksud menafikan keimanan pelakunya secara total. Tetapi ia menafikan kesempurnaan iman. Ia tidak bermaksud seseorang yang melakukan salah satu dosa besar ini menjadi kafir, iaitu kafir yag menjadikannya terkeluar daripada agama.

Sekiranya perkara yang dinafikan di sini ialah iman secara total, sudah tentu setiap mereka menjadi murtad. Hukuman yang dikenakan bagi semua kesalahan ini juga (sudah tentunya) hanya satu (sahaja) iaitu hukuman murtad, bukannya berbagai-bagai iaitu sebat, rejam & potong tangan.

Dalam hadis lain,

Rasulullah s.a.w. melarang perbuatan melaknat seorang penagih arak yang tegar. Ia berlaku apabila seorang sahabat berkata, “Ya Allah, laknatilah dia. Alangkah banyaknya dia minum arak & banyak kali dibawa ke muka pengadilan.” Lalu Baginda menegur, “Jangan kamu melaknatinya. Demi Allah, aku tidak mengenalinya melainkan dia mencintai Allah & Rasul-Nya!”

[HR. Bukhari]

Ia membuktikan secara jelas bahawa maksiat semata-mata (sekalipun dosa besar) tidak mencabut iman dari hati seseorang sehingga ke akar umbinya. Dalilnya, dia masih mencintai Allah & Rasul-Nya.

Terdapat banyak hadis seumpama hadis di atas. Hadis-hadis tersebut memenuhi kitab-kitab hadis. Ia membincangkan mengenai cabang-cabang iman yang melebihi 70 cabang.

Contohnya ialah hadis:

Seseorang kamu tidak beriman (tidak sempurna imannya) sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.

[Muttafaq ‘alaih]

Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Kamu tidak beriman sehingga kamu berkasih sayang.

[HR. Muslim]

Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Iaitu sesiapa yang jirannya tidak merasa selamat daripada kejahatannya.

[HR. Bukhari]

Sabdanya lagi bermaksud:

Dia tidak beriman dengan aku. Iaitu sesiapa yang bermalam dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya lapar, padahal dia mengetahuinya.

[HR. al-Bazzar & at-Tabrani]


WAllahu a’lam.

Keseluruhan tulisan di atas dipetik daripada buku berikut:

‘Kebangkitan Islam: Di Antara Perselisihan Yang Dibenarkan Dan Perpecahan Yang Dicela’, karya Dr. Yusuf al-Qardhawi, terjemahan oleh Bahagian Penterjemahan & Editorial, Pustaka Salam, terbitan Pustaka Salam, 2004, di bawah topik ‘Mengikut Manhaj Pertengahan & Meninggalkan Sikap Melampau’, subtopik ‘Menentukan Kefahaman Sebenar & Faham Istilah yang Digunakan’.

Karya asalnya berjudul ‘As-Sohwah al-Islamiyah: Baina al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum‘, tidak dijelaskan di mana & bila karya asal ini diterbitkan namun dari bahagian awal buku yang diterjemah, Dr. Yusuf al-Qardhawi menulis bahagian ‘Kata Pengantar’ karyanya ini di Universiti Qatar, Doha, pada tahun 1989.


Nota:

1. Dalam buku yang diterjemah, ayat Surah al-Mukminun yang dipetik adalah ayat 1 hingga 10 sahaja. Ayat ke-11 ditambah dalam tulisan di atas untuk melengkapi makna ayat yang ke-10.

2. Dalam subtopik dalam buku yang dinyatakan di atas, Dr. Yusuf al-Qardhawi seterusnya mengkategorikan syirik, kufur, nifaq, & jahiliyah kepada yang bersifat ‘akbar‘ (besar) & ‘asghar‘ (kecil). Keempat-empat perbuatan maksiat yang disebut di atas yang bersifat akbar (secara total) mengeluarkan pelakunya daripada Islam.

Antara tujuan ditulis subtopik ini adalah supaya umat Islam tidak terjerumus dalam perbuatan takfir, ataupun mengkafirkan orang Islam yang lain.

3. Penting untuk dijelaskan di sini tentang istilah kufur.

Dr. Yusuf al-Qardhawi membahagikan kufur akbar kepada ‘kufur asal’ & ‘kufur yang baru mendatang’. Kufur yang baru mendatang ialah kufur murtad, yang mengeluarkan pelakunya daripada Islam. Kufur asal pula, antaranya ialah kekufuran orang yang mengingkari kewujudan Allah SWT, seperti yang dijelaskan dalam ayat yang berikut:

an-nisa-4_136

Wahai orang-orang yang beriman! Tetaplah beriman kepada Allah & Rasul-Nya (Muhammad), & kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepada Rasul-Nya, serta kitab yang diturunkan sebelumnya. Barangsiapa (kufur) ingkar kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, & hari kemudian, maka sungguh, orang itu telah tersesat sangat jauh.

[Surah an-Nisa’, 4: 136]

Manakala kufur asghar pula digunakan kepada beberapa perbuatan maksiat, yang mana perbuatan itu boleh membawa kepada kafir, ataupun menyerupai amalan orang kafir, ataupun bermaksud kufur nikmat. Sebagai contoh, penggunaan kufur dalam ayat yang berikut:

al-maidah-5_44

Sungguh, Kami yang Menurunkan Kitab Taurat; di dalamnya (ada) petunjuk & cahaya. Yang dengan Kitab itu para nabi yang berserah diri kepada Allah memberi putusan atas perkara orang Yahudi, demikian juga para ulama & pendeta-pendeta mereka, sebab mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah & mereka menjadi saksi terhadapnya. Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu jual ayat-ayat-Ku dengan harga murah. Barangsiapa tidak memutuskan dengan apa yang Diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir.

[Surah al-Maidah, 5: 44]

Untuk penjelasan yang lebih lanjut berkenaan topik ini, boleh rujuk buku yang dinyatakan di atas, ataupun boleh baca Tafsir Ibnu Kathir versi atas talian (dalam Bahasa Inggeris).

WAllahu a’lam.

4. Pada pandangan saya, al-Qardhawi mengemukakan topik ini bukanlah supaya kita umat Islam bermudah-mudah dalam menghayati & mengamalkan agama Islam. Ia ditulis supaya kita berhati-hati & berwaspada dalam menilai orang Islam yang lain, yang membuat kesalahan & maksiat (secara terang-terangan). Dan supaya kita tidak terjerumus dalam situasi saling mentakfir, yang mana tuduhan itu pasti akan terkena kepada satu daripada golongan yang terlibat.

Sabda Rasulullah s.a.w., yang bermaksud:

Barangsiapa yang berkata kepada saudaranya, “hai orang kafir,” maka kata itu akan menimpa salah satunya. Jika benar apa yang diucapkan (bererti orang yang dituduh menjadi kafir); jika tidak, maka tuduhan itu akan menimpa orang yang menuduh.

[HR Muslim]

[Jika berminat, boleh baca: Bahaya Memanggil Dengan Kafir Atau Fasiq.]

Bagi umat Islam yang berilmu, mempunyai kesedaran yang tinggi serta beriltizam terhadap agama Islam ini, kesempurnaan iman itu perlu diusahakan & segala maksiat—walaupun yang bersifat asghar—perlu dijauhi. Apatah lagi dalam kita berusaha mencapai matlamat mengembalikan keagungan Islam di bumi milik Allah SWT ini, sudah tentulah kekuatan iman (yang sempurna) itu sangat diperlukan.

WAllahu a’lam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s