Meluruskan Pemahaman Tentang Sunnatullah

‘Sunnatullah’ adalah satu istilah yang boleh dikatakan agak popular dalam masyarakat Islam di Malaysia, terutama di kalangan pemuda-pemudi yang menyertai pergerakan Islam. Istilah ini selalunya diertikan sebagai ‘sains’. Hal ini boleh dibaca dalam banyak catatan blog oleh mereka yang bergiat secara aktif dalam dakwah, merentasi pelbagai medan amal. Boleh google sahaja untuk membuat tinjauan secara pantas & rawak.

“SUNNATULLAH = SAINS”. ADAKAH TEPAT DEFINISI INI?

Namun, sejauh manakah ketepatan definisi ‘sunnatullah’ yang seringkali disinonimkan dengan ‘sains’ ini?

Pada pandangan peribadi, definisi yang diterima umum ini adalah agak longgar (loose). Untuk mengetahui dengan tepat akan pengertian ‘sunnatullah’, seharusnya kita rujuk kepada ayat-ayat al-Quran, iaitu sumber utama yang memperkenalkan istilah ini. Juga perlu diingatkan, jangan dipotong & diambil separuh sahaja ayatnya; ambillah keseluruhan ayat, supaya jelas konteks penggunaaan istilah ‘sunnatullah’ ini.

Terdapat sekurang-kurangnya 9 ayat al-Quran yang membicarakan ‘sunnatullah’ ataupun ‘sunnah Allah’. Dua istilah lain yang memberikan maksud yang sama adalah ‘sunnatina’ & ‘sunnah al-awwalin’.

Bagi memahami konteks penggunaan istilah ‘sunnatullah’ di dalam al-Quran dengan lebih tepat, saya sertakan juga beberapa ayat sebelum, ataupun beberapa ayat selepas, ataupun ayat-ayat yang mengapit ayat yang mengandungi istilah ‘sunnatullah’.

Disertakan juga ringkasan tafsir berkenaan ayat-ayat tersebut, yang dirumuskan daripada Tafsir Ibnu Kathir, versi atas talian (dalam Bahasa Inggeris).

9 AYAT YANG MENGGUNAKAN ISTILAH SUNNATULLAH ATAUPUN YANG SEMAKNA DENGANNYA

Berikut disenaraikan 9 ayat-ayat al-Quran yang ada terkandung dalamnya istilah ‘sunnatullah’.

1. Ayat ke-38, Surah al-Anfal [8:38]

al-anfal-8_38-40

[38] Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu (Abu Sufyan & kawan-kawannya), “Jika mereka berhenti (dari kekafirannya), nescaya Allah akan Mengampuni dosa-dosa mereka yang telah lalu; & jika mereka kembali lagi (memerangi Nabi), sungguh, berlaku (kepada mereka) sunnah (Allah terhadap) orang-orang dahulu (dibinasakan).”

[39] Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah, & agama hanya bagi Allah semata. Jika mereka berhenti (dari kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

[40] Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik Pelindung & sebaik-baik Penolong.

[Surah al-Anfal, 8: 38-40]

Ringkasan tafsir:

Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya memberi peringatan kepada orang-orang kafir tentang 2 pilihan yang mereka miliki, iaitu:

i) masuk Islam & dosa-dosa mereka yang lalu akan diampunkan, atapun
ii) jika mereka kekal dalam kekafiran mereka serta memerangi Nabi & orang-orang Islam, sunnatullah yang berupa azab & kemusnahan akan menimpa mereka sebagaimana yang pernah berlaku terhadap kaum-kaum yang terdahulu.

Untuk tafsir yang lebih terperinci, sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir.

petra1140op
Petra, Wilayah Ma’an, Jordan.

2. Ayat ke-13, Surah al-Hijr [15:13]

al-hijr-15_10-13

[10] Dan sungguh, Kami telah Mengutus (beberapa Rasul) sebelum engkau (Muhammad) kepada umat-umat terdahulu.

[11] Dan setiap kali seorang Rasul datang kepada mereka, mereka selalu memperolok-olokkannya.

[12] Demikianlah, Kami Memasukkannya (olok-olok itu) ke dalam hati orang yang berdosa,

[13] mereka tidak beriman kepadanya (al-Quran) padahal telah berlalu sunnatullah* terhadap orang-orang terdahulu.

[Surah al-Hijr, 15: 10-13]

Nota tambahan dalam terjemahan al-Quran:

* Sunnatullah di sini ialah membinasakan orang yang mendustakan Rasul.

Ringkasan tafsir:

Allah SWT Menenangkan Nabi Muhammad s.a.w. apabila dakwah yang dilakukan Baginda tidak diterima oleh kaumnya sendiri, malah dipermain-mainkan pula. Allah SWT Mengingatkan bahawa hal yang sedemikian juga pernah berlaku kepada kaum terdahulu yang diutuskan seorang Rasul kepada mereka. Allah Memasukkan kesyirikan ke dalam hati mereka kerana kesombongan & kedegilan mereka untuk mengikut petunjuk. Lalu kemusnahan menimpa mereka sebagai suatu sunnatullah, sedangkan Rasul & orang-orang yang beriman dengannya Diselamatkan Allah SWT.

Untuk tafsir yang lebih terperinci, sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir.

3. Ayat ke-77, Surah al-Isra’ [17:77]

al-isra-17_76-77

[76] Dan sungguh, mereka hampir membuatmu (Muhammad) gelisah di negeri (Mekah) kerana engkau harus keluar dari negeri itu, & kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalanmu mereka tidak akan tinggal (di sana), melainkan sebentar saja.*

[77] (Yang demikian itu) merupakan ketetapan bagi para Rasul Kami yang Kami Utus sebelum engkau,** & tidak akan engkau dapati perubahan atas ketetapan Kami.

[Surah al-Isra’, 17: 76-77]

Nota tambahan dalam terjemahan al-Quran:

* Kalau sampai terjadi Nabi Muhammad s.a.w. diusir oleh penduduk Mekah, nescaya tidak akan lama hidup di dunia, & Allah akan segera membinasakan mereka. Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah bukan kerana pengusiran kaum Quraisy, melainkan semata-mata kerana perintah Allah.
** Maksudnya setiap umat yang mengusir Rasul pasti akan Dibinasakan Allah. Demikianlah sunnah (ketetapan) Allah SWT.

Ringkasan tafsir:

Peringatan Allah Ditujukan kepada orang-orang kafir Quraisy yang ingin menghalau Nabi, bahawa jika mereka berbuat demikian, nescaya mereka tidak akan dapat tinggal di Mekah dengan lebih lama. Dan hal ini benar-benar berlaku, apabila selepas setahun setengah Nabi berhijrah, berlaku Perang Badar, di mana terbunuhnya ramai pemimpin Quraisy & tertawannya keluarga mereka yang ikut serta. Begitulah sunnatullah yang pernah berlaku pada kaum terdahulu yang menghalau Rasul dari penempatan mereka, lantas azab Allah datang menimpa mereka.

Untuk tafsir yang lebih terperinci, sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir.

4. Ayat ke-55, Surah al-Kahf [18:55]

al-kahf-18_55-56

[55] Dan tidak ada (sesuatu pun) yang menghalangi manusia untuk beriman ketika petunjuk telah datang kepada mereka & memohon ampunan kepada Tuhan-nya, kecuali (keinginan menanti) datangnya hukum (Allah yang telah berlaku pada) umat yang terdahulu atau datangnya azab atas mereka dengan nyata.

[56] Dan Kami tidak Mengutus Rasul-Rasul melainkan sebagai pembawa khabar gembira & pemberi peringatan; tetapi orang yang kafir membantah dengan (cara) yang batil agar dengan demikian mereka dapat melenyapkan yang hak (kebenaran), & mereka menjadikan ayat-ayat-Ku & apa yang diperingatkan terhadap mereka sebagai olok-olokan.

[Surah al-Kahf, 18: 55-56]

Ringkasan tafsir:

Orang-orang kafir Quraisy mencabar Rasulullah s.a.w. supaya mendatangkan azab dengan segera, jika Baginda mengatakan perkara yang benar. Cabaran yang sebegitu rupa adalah bertujuan untuk membantah penerangan yang dibuat oleh Baginda & untuk mempermain-mainkan peringatan yang diberi. Lantas Allah Mengingatkan bahawa peranan Rasul-Rasul yang Diutuskan-Nya hanyalah pembawa khabar gembira bagi orang-orang yang beriman & pemberi amaran bagi orang-orang yang kafir.

Untuk tafsir yang lebih terperinci, sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir.

machu-picchu1140op
Machu Picchu, Pergunungan Andes, Peru.

5. Ayat ke-38, Surah al-Ahzab [33:38]

al-ahzab-33_37-40_pt1al-ahzab-33_37-40_pt2al-ahzab-33_37-40_pt3

[37] Dan (ingatlah), ketika engkau (Muhammad) berkata kepada orang yang telah Diberi nikmat oleh Allah & engkau (juga) telah memberi nikmat kepadanya, “Pertahankanlah terus isterimu & bertakwalah kepada Allah,” sedang engkau menyembunyikan dalam hatimu apa yang akan Dinyatakan oleh Allah, & engkau takut kepada manusia, padahal Allah lebih berhak engkau takuti. Maka ketika Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami Nikahkan engkau dengan dia (Zainab)* agar tidak ada keberatan bagi orang Mukmin untuk (menikahi) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya terhadap isterinya. Dan ketetapan Allah itu pasti terjadi.

[38] Tidak ada keberatan apa pun pada Nabi tentang apa yang telah Ditetapkan Allah baginya. (Allah telah Menetapkan yang demikian) sebagai Sunnah Allah pada Nabi-Nabi yang telah terdahulu. Dan ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku,

[39] (iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah,** mereka takut kepada-Nya & tidak merasa takut kepada sesiapa pun selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat perhitungan.

[40] Muhammad itu bukanlah bapa dari seseorang di antara kamu,*** tetapi dia adalah Utusan Allah & penutup para Nabi. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

[Surah al-Ahzab, 33: 37-40]

Nota tambahan dalam terjemahan al-Quran:

* Setelah habis idahnya.
** Para Rasul yang menyampaikan syariat-syariat Allah kepada manusia.
*** Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah ayah dari salah seorang sahabat, kerana itu janda Zaid (iaitu Zainab) dapat dinikahi oleh Rasulullah s.a.w.

Ringkasan tafsir:

Apabila berlaku masalah dalam rumahtangga anak angkat Nabi iaitu Zaid, hal itu diadukannya kepada Nabi; namun Baginda menyuruh Zaid supaya bersabar dengan isterinya, Zainab, & bertakwa kepada Allah. Sedangkan ketika itu, Baginda telah tahu bahawa Allah bakal Menjodohkan Baginda dengan Zainab. Lantaran takut dengan manusia (terutamanya golongan munafik) yang mungkin akan melemparkan tuduhan yang buruk jika Baginda berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya, Baginda menyembunyikan hal tersebut daripada Zaid. Maka Allah Menegur Nabi bahawa hanya Dia yang layak Ditakuti dalam setiap urusan yang telah Ditetapkan-Nya, yang pasti akan berlaku. Dalam kisah ini, perkara yang telah Ditetapkan Allah ialah urusan jodoh antara Nabi dengan Zainab, serta peraturan yang membolehkan seseorang itu berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya.

Manakala ketetapan (sunnatullah) dalam penyampaian risalah Allah pula, Dibebaskan hati para penyerunya daripada rasa takut kepada sesuatu yang lain, & Dimasukkan ke dalamnya rasa takut hanya kepada Allah SWT semata-mata. Sunnatullah ini berlaku kepada semua Nabi & Rasul dalam menyeru kaum masing-masing supaya beriman kepada Allah. Istimewanya Nabi Muhammad s.a.w. adalah Baginda Diutuskan untuk menyampaikan risalah Allah kepada seluruh umat manusia yang wujud di atas muka bumi sehingga ke hari kiamat, bukan kepada kaum yang tertentu sahaja. Dan tugas tersebut terpikul di atas bahu kita umat Islam yang masih hidup pada hari ini.

Untuk tafsir yang lebih terperinci, sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir.

6. Ayat ke-62, Surah al-Ahzab [33:62]

al-ahzab-33_59-62_pt1al-ahzab-33_59-62_pt2

[59] Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu & isteri-isteri orang Mukmin, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya* ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.

[60] Sungguh, jika orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya & orang-orang yang menyebarkan khabar bohong di Madinah tidak berhenti (dari menyakitimu), nescaya Kami Perintahkan engkau (untuk memerangi) mereka, kemudian mereka tidak lagi menjadi tetanggamu (di Madinah) kecuali sebentar,

[61] dalam keadaan terlaknat. Di mana saja mereka dijumpai, mereka akan ditangkap & dibunuh tanpa ampun.

[62] Sebagai Sunnah Allah yang (berlaku juga) bagi orang-orang yang telah terdahulu sebelum(mu), & engkau tidak akan mendapati perubahan pada Sunnah Allah.

[Surah al-Ahzab, 33: 59-62]

Nota tambahan dalam terjemahan al-Quran:

* Jilbab ialah sejenis baju kurung yang lapang yang dapat menutup kepada, wajah & dada.

Ringkasan tafsir:

Allah Memberi amaran kepada golongan munafik & penyebar berita bohong bahawa mereka pasti akan diatasi & diperangi sehingga dikalahkan oleh orang-orang yang beriman, jika mereka tidak berhenti melakukan perbuatan khianat mereka. Hal ini adalah suatu sunnah Allah dalam menguruskan orang-orang munafik seandainya mereka tidak mahu bertaubat.

Untuk tafsir yang lebih terperinci, sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir.

7. Ayat ke-43, Surah Fathir [35:43]

fathir-35_42-45_pt1fathir-35_42-45_pt2fathir-35_42-45_pt3

[42] Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sungguh-sungguh bahawa jika datang kepada mereka seorang pemberi peringatan, nescaya mereka akan lebih mendapat petunjuk dari salah satu umat-umat (yang lain). Tetapi ketika pemberi peringatan datang kepada mereka, tidak menambah (apa-apa) kepada mereka, bahkan semakin jauh mereka dari (kebenaran),

[43] kerana kesombongan (mereka) di bumi & kerana rencana (mereka) yang jahat. Rencana yang jahat itu hanya akan menimpa orang yang merencanakannya sendiri. Mereka hanyalah menunggu (berlakunya) ketentuan kepada orang-orang yang terdahulu.* Maka kamu tidak akan mendapatkan perubahan bagi ketentuan Allah, & tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi ketentuan Allah itu.

[44] Dan tidakkah mereka berpergian di bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan Rasul), padahal orang-orang itu lebih besar kekuatannya dari mereka. Dan tidak ada sesuatu pun yang dapat melemahkan Allah baik di langit mahupun di bumi. Sungguh, Dia Maha Mengetahui, Maha Kuasa.

[45] Dan sekiranya Allah Menghukum manusia disebabkan apa yang telah mereka perbuat, nescaya Dia tidak akan Menyisakan satu pun makhluk bergerak yang bernyawa di bumi ini, tetapi Dia Menangguhkan (hukuman)nya, sampai waktu yang sudah ditentukan. Nanti apabila ajal mereka tiba, maka Allah Maha Melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.

[Surah Fathir, 35: 42-45]

Nota tambahan dalam terjemahan al-Quran:

* Yang dimaksud dengan ‘ketentuan orang-orang yang terdahulu’ ialah turunnya azab kepada orang-orang yang mendustakan Rasul.

Ringkasan tafsir:

Orang-orang Quraisy & Arab pernah bersumpah bahawa mereka pasti akan menjadi lebih terbimbing seandainya diutuskan kepada mereka seorang Rasul, berbanding 2 golongan yang diberikan Kitab sebelum mereka. Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila mereka menzahirkan kesombongan terhadap petunjuk yang datang kepada mereka, malah lebih teruk lagi membuat perancangan jahat untuk menghalang manusia dari jalan Allah. Maka Allah Memberikan ancaman kepada mereka, bahawa akibat buruk daripada perancangan jahat mereka pasti akan menimpa diri mereka sendiri. Hal ini sebagai suatu sunnatullah yang pernah menimpa kaum terdahulu apabila mereka mengingkari peringatan yang dibawa oleh Rasul di kalangan mereka, yang mana kesan-kesan kemusnahan tamadun & tempat tinggal kaum tersebut boleh dilihat di sekitar Semenanjung Tanah Arab jika seseorang itu bermusafir.

Untuk tafsir yang lebih terperinci, sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir.

el-ray1140op
El Rey, Cancun, Mexico.

8. Ayat ke-85, Surah Ghafir [40:85]

ghafir-40_82-85_pt1ghafir-40_82-85_pt2

[82] Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di bumi, lalu mereka memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka itu lebih banyak & lebih hebat kekuatannya serta (lebih banyak) peninggalan-peninggalan peradabannya di bumi,* maka apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka.

[83] Maka ketika para Rasul datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka merasa senang dengan ilmu yang ada pada mereka** & mereka dikepung oleh (azab) yang dahulu mereka memperolok-olokkannya.

[84] Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata, “Kami hanya beriman kepada Allah saja & kami ingkar kepada sembahan-sembahan yang telah kami persekutukan dengan Allah.”

[85] Maka iman mereka ketika mereka telah melihat azab Kami tidak berguna lagi bagi mereka. Itulah (ketentuan) Allah yang telah berlaku terhadap hamba-hamba-Nya. Dan ketika itu rugilah orang-orang kafir.

[Surah Ghafir, 40: 82-85]

Nota tambahan dalam terjemahan al-Quran:

* Peradaban seperti bangunan, benteng, istana & alat-alat kelengkapan.
** Mereka sudah merasa cukup dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka & tidak merasa perlu lagi dengan ilmu pengetahuan yang diajarkan oleh Rasul-Rasul mereka. Malah mereka meremehkan & memperolok-olokkan keterangan yang dibawa para Rasul itu.

Ringkasan tafsir:

Allah Menjelaskan tentang kesan-kesan kemusnahan kaum-kaum terdahulu, setelah ditimpa azab dari Allah, sedangkan mereka itu terkedepan dari segi pencapaian ilmu & teknologi, serta memiliki kekayaan & kekuatan yang hebat. Akibat buruk menimpa mereka kerana mereka memperolok-olokkan bukti & keterangan yang jelas yang dibawa oleh Rasul yang Diutuskan kepada mereka. Apabila azab yang Diancamkan kepada mereka muncul di depan mata, mereka mula menyatakan keimanan mereka, namun pada waktu itu, pengakuan mereka sudah tidak diterima lagi.

Untuk tafsir yang lebih terperinci, sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir.

9. Ayat ke-23, Surah al-Fath [48:23]

al-fath-48_20-23_pt1al-fath-48_20-23_pt2

[20] Allah Menjanjikan kepadamu harta rampasan perang yang banyak yang dapat kamu ambil, maka Dia Segerakan (harta rampasan perang) ini untukmu,* & Dia Menahan tangan manusia dari (membinasakan)mu (agar kamu mensyukuri-Nya), & agar menjadi bukti bagi orang-orang Mukmin, & agar Dia Menunjukkan kamu ke jalan yang lurus,

[21] dan (kemenangan-kemenangan) atas negeri-negeri lain yang tidak dapat kamu perkirakan, tetapi sesungguhnya Allah telah Menentukannya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

[22] Dan sekiranya orang-orang yang kafir itu memerangi kamu, pastilah mereka akan berbalik melarikan diri (kalah), & mereka tidak akan mendapatkan pelindung & penolong.

[23] (Demikianlah) hukum Allah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tidak akan menemukan perubahan pada hukum Allah itu.

[Surah al-Fath, 48: 20-23]

Nota tambahan dalam terjemahan al-Quran:

* Allah Menjanjikan harta rampasan perang yang banyak kepada kaum Muslimin. Sebagai pendahuluan, Allah Memberikannya pada Perang Khaibar.

Ringkasan tafsir:

Surah al-Fath diturunkan selepas berlangsungnya Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad s.a.w. & pemimpin kafir Quraisy, pada bulan Zulkaedah, tahun ke-6 Hijrah. Antara isi kandungan Perjanjian Hudaibiyah yang penting ialah kedua-dua pihak bersetuju untuk melakukan genjatan senjata selama 10 tahun.

Khusus bagi ayat-ayat yang dipetik di atas, Allah Menjanjikan ghanimah (harta rampasan perang) yang banyak kepada orang-orang yang beriman, yang sesetengahnya disegerakan kedatangannya seperti yang diperolehi setelah kemenangan dalam Perang Khaibar, yang berlaku dalam bulan Muharam, tahun ke-7 Hijrah—iaitu kira-kira hanya 2 bulan selepas Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani. Tangan-tangan orang kafir Quraisy terikat dengan Perjanjian Hudaibiyah, menyebabkan mereka tidak dapat menolong kaum Yahudi di Khaibar; sedangkan 15 bulan sebelumnya, iaitu dalam bulan Syawal hingga ke Zulkaedah, tahun ke-5 Hijrah, mereka saling berkerjasama untuk menghancurkan kuasa Islam di Madinah dalam Perang Khandaq (juga dikenali sebagai Perang Ahzab).

Disegerakan datangnya ghanimah yang Dijanjikan Allah adalah agar orang-orang yang beriman bertambah yakin dengan janji-janji Allah & seterusnya meneguhkan keimanan mereka untuk terus berjuang bersama Rasulullah s.a.w.

Allah SWT juga Menjanjikan kemenangan-kemenangan yang lain pada masa akan datang, yang menurut satu pendapat merangkumi ‘kemenangan & ghanimah’ hingga ke akhir zaman.

Seandainya tidak terjadi Perjanjian Hudaibiyah, & sebaliknya berlaku perang dalam bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah tersebut, maka Allah pasti akan Memenangkan orang-orang Islam ke atas orang-orang kafir, sebagai suatu sunnatullah yang tidak akan berubah. Perlu diingatkan bahawa perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. & para sahabat seramai 1400 orang ke Mekah pada waktu itu adalah untuk menunaikan ibadah umrah, sepertimana yang Baginda lihat dalam mimpinya. Jadi mereka tidak membawa kelengkapan senjata untuk berperang; masing-masing sekadar membawa sebilah pedang bersarung yang lazimnya dibawa oleh mereka yang bermusafir pada zaman itu.

Untuk tafsir yang lebih terperinci, sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir.

KESIMPULAN

Daripada konteks penggunaan istilah ‘sunnatullah’ dalam petikan ayat-ayat al-Quran di atas berserta tafsirnya daripada Tafsir Ibnu Kathir, jelaslah bahawa ‘sunnatullah’ merujuk kepada suatu hukum, atau peraturan, atau undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang akan terlaksana apabila berlaku pertembungan antara kelompok yang beriman dengan kelompok yang kafir, yang mana Allah pasti akan Menolong kelompok yang beriman mengalahkan kelompok yang kafir.

Petikan berikut yang diambil daripada Tafsir Ibnu Kathir berhubung ayat dari Surah al-Fath yang dipetik di atas, menggambarkan maksud ‘sunnatullah’ dengan ringkas & padat:

Whenever faith and disbelief meet at any distinguishing juncture, Allah gives victory to faith over disbelief, raises high truth and destroys falsehood.”

Terjemahannya:

“Apabila keimanan & kekufuran bertembung dalam situasi yang jelas perbezaannya (antara keimanan & kekufuran), Allah Memberi kemenangan kepada keimanan mengatasi kekufuran, Menjulang tinggi kebenaran & Menghancurkan kepalsuan.”

Dalam 9 ayat & ayat-ayat yang berkaitan dengannya, yang disenaraikan di atas, Allah mengkhabarkan tentang pelbagai sikap & tindakan yang dilakukan oleh golongan yang kafir terhadap golongan yang beriman. Antaranya termasuklah: memerangi—(8:38) & (48:23), berlaku sombong & memperolokkan risalah yang dibawa—(15:13) & (40:85), mengusir—(17:77), mengemukakan hujah yang batil—(18:55), mencari-cari kesalahan—(33:38), menyebar berita dusta—(33:62), membuat perancangan jahat—(35:43)—untuk melenyapkan golongan yang beriman.

Pertolongan Allah kepada golongan yang beriman diberi dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah: Ditenangkan hati mereka daripada perasaan takut kepada musuh, Didatangkan hujah untuk menundukkan hujah musuh, Diselamatkan Allah daripada perancangan jahat musuh, Diselamatkan Allah daripada azab yang menimpa golongan yang kafir, serta Diberikan kemenangan seandainya berlaku perang antara mereka—melalui pengiriman pasukan tentera bantuan sama ada para malaikat mahupun makhluk Allah yang lain seperti angin yang sejuk, ribut taufan, kawanan serangga & seumpamanya.

Mungkin akan ada yang akan bertanya, “Lalu mengapa hal ini (pertolongan Allah) tidak datang kepada kita umat Islam pada hari ini?” Jawapannya ringkasnya ialah, “Berdasarkan pengamatan peribadi, kemungkinan besar hal ini terjadi kerana umat Islam sendiri yang mengabaikan syariat yang diturunkan Allah SWT, sama ada yang berbentuk perintah mahupun larangan. WAllahu a’lam.” Hal ini akan dibincangkan dalam satu artikel yang lain, insha-Allah.

Berbalik semula kepada persoalan utama yang menjadi tujuan asal artikel ini ditulis, iaitu: Tepatkah definisi ‘sunnatullah’ yang umumnya disinonimkan dengan ‘sains’?

Jawapannya: Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan di atas, penggunaan ‘sunnatullah’ untuk menggantikan istilah ‘sains’ adalah tidak tepat sama sekali. Namun tidak dinafikan bahawa terdapat pertalian yang rapat antara istilah-istilah ini, iaitu kedua-duanya termasuk dalam qadar (takdir) yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Insha-Allah, perkaitan ini akan dikupas dengan terperinci dalam artikel yang lain.

WAllahu a’lam.


Nota:

1. Mungkin ada lagi beberapa ayat yang menyebut tentang sunnatullah, yang tidak tersenarai di sini. Kepada sahabat yang membaca, jika terbaca ayat-ayat berkenaan, sila maklumkan di ruang komentar. Terima kasih.

2. Penggunaan istilah dalam Bahasa Melayu yang tidak seragam apabila diterjemahkan perkataan ‘sunnatullah’ daripada Bahasa Arab adalah kerana saya mengambilnya bulat-bulat daripada terjemahan al-Quran, terbitan Khazanah Rabbani Publisher, yang saya jadikan rujukan.

3. Kita perlu berhati-hati apabila mengambil ilmu dari Barat. Tidak semua ilmu yang dipraktikkan di Barat bersifat saintifik, yakni berasaskan bukti & fakta yang boleh diperolehi secara empirik ataupun melalui eksperimen. Terdapat ilmu dari Barat yang kelihatan cantik & logik di atas kertas, tetapi sandarannya hanyalah falsafah & teori semata-mata, tanpa berpijak di bumi nyata.

4. Rujukan kedua bagi ringkasan tafsir ayat yang dipetik dari Surah al-Fath di atas ialah sebuah buku sirah, ‘The Sealed Nectar (Ar-Raheeq Al-Makhtum)‘, yang dikarang oleh Safiur-Rahman Al-Mubarakpuri, terbitan Darussalam, versi yang telah dikemaskini 2002. Buku ini dirujuk untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkenaan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku sebelum, semasa, & selepas Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani. Antara peristiwa besar yang telah berlaku adalah seperti berikut:

i) Tahun ke-5 Hijrah, Syawal-Zulkaedah: Perang Khandaq
ii) Tahun ke-5 Hijrah, Zulkaedah: Penawanan Bani Quraizah, yang mengkhianati umat Islam dalam Perang Khandaq.
iii) Tahun ke-6 Hijrah, Syaaban: Perang Bani al-Mustaliq. Peristiwa fitnah yang menimpa Aishah r.a. berlaku selepas tamat perang ini.
iv) Tahun ke-6 Hijrah, Zulkaedah: Perjanjian Hudaibiyah
v) Tahun ke-7 Hijrah, Muharam: Perang Khaibar
vi) Tahun ke-8 Hijrah, Ramadan: Pembukaan Kota Mekah

5. Surah al-Fath (surah yang ke-48), hanya mengandungi 29 ayat, namun dalamnya terkandung pengajaran yang besar buat orang-orang yang beriman, khususnya dalam menempuhi babak terakhir ketamadunan manusia di dunia ini. Antara pengajaran ringkas yang boleh dijadikan renungan oleh umat Islam ialah hakikat kekuasaan, kewujudan tentera Allah, pertembungan antara keimanan & kekufuran, golongan yang banyak memberi alasan, keredhaan Allah kepada orang-orang yang beriman yang berbaiah kepada Rasul-Nya dengan ikhlas serta berusaha memenuhinya, janji kemenangan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman, serta sifat & kelebihan yang Diberikan Allah kepada orang-orang yang beriman. Ingin saya sarankan kepada semua sahabat untuk memerhatian pengajaran daripada Surah al-Fath, yang pada penilaian saya, tidak kurang pentingnya berbanding Surah al-Kahf. Sebagai permulaan, boleh rujuk Tafsir Ibnu Kathir.

6. Perjanjian Hudaibiyah, walaupun ada beberapa perkara—termasuklah kandungan perjanjian & beberapa peristiwa yang melatarinya—yang tidak disukai oleh orang-orang Islam, termasuk oleh Saidina Umar sendiri, namun ia ternyata membuka ruang untuk Islam disebarkan, terutamanya setelah genjatan senjata dibuat dengan pihak musyrikin Mekah. Ia juga menjadi isyarat bahawa pihak musyrikin Mekah mula mengiktiraf pentadbiran Islam di Madinah sebagai suatu ‘kuasa politik’ yang baru.

Selepas Perjanjian Hudaibiyah-lah, Nabi mula menghantar wakil bagi menyampaikan mesej Islam ke wilayah-wilayah pentadbiran di sekitar Semenanjung Tanah Arab, antara lain termasuklah ke Abyssinia (Ethiopia), Mesir, Bahrain, Damsyik, dan Oman, termasuklah juga kepada 2 kuasa besar dunia ketika itu iaitu kerajaan Rom & Parsi.

Impak daripada Perjanjian Hudaibiyah terhadap perjuangan Islam adalah begitu besar, hinggakan ada sahabat yang mengatakan bahawa ‘al-Fath’ yang dinyatakan dalam pembukaan Surah al-Fath adalah merujuk kepada Perjanjian Hudaibiyah. Abdullah bin Mas`ud dan beberapa sahabat yang lain berkata,

“Kamu menganggap bahawa Pembukaan Kota Mekah itulah ‘al-Fath’ (kemenangan), namun bagi kami, ‘al-Fath’ ialah perjanjian yang dibuat di Hudaibiyah.”

[Tafsir Ibnu Kathir]

WAllahu a’lam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s