Lebih Baik Daripada Unta Merah

Demi Allah, bila ada satu orang saja yang mendapat petunjuk melalui dirimu maka itu lebih baik bagimu daripada unta-unta merah (yang paling bagus).

[HR. Bukhari]

Dalam buku karangan Almarhum TG Nik Abdul Aziz berjudul ‘Muhammad S.A.W.: Insan Teladan Sepanjang Zaman’, terbitan Anbakri Publika Sdn Berhad, 2008, beliau mengulas maksud hadis ini:

Unta merah adalah contoh sesuatu yang amat bernilai di kalangan bangsa Arab ketika itu. Justeru ia membawa maksud bahawa usaha menyeru manusia kepada hidayah Allah SWT, adalah usaha yang bakal menerima ganjaran besar daripada Allah SWT.

Hadis ini diucapkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. kepada Saidina ‘Ali setelah menyerahkan bendera perang kepadanya semasa perang Khaibar. Hadis penuhnya berbunyi:

Nabi s.a.w. bersabda ketika perang Khaibar: “Sungguh bendera perang ini akan aku berikan esok hari kepada seseorang yang peperangan ini akan dimenangkan melalui tangannya. Orang itu mencintai Allah dan Rasul-Nya & Allah & Rasul-Nya juga mencintainya.”

Maka orang-orang melalui malam mereka dengan tertanya-tanya siapa yang akan diberikan kepercayaan itu. Keesokan harinya setiap orang dari mereka berharap diberikan kepercayaan itu.

Maka Baginda berkata: “Mana ‘Ali?”

Dijawab: “Dia sedang sakit kedua matanya.”

Maka (setelah ‘Ali datang) Baginda meludahi kedua-dua matanya lalu mendoakannya hingga sembuh seakan-akan belum pernah terkena penyakit sedikitpun.

Lalu Baginda memberikan bendera perang kepadanya kemudian bersabda: “Perangilah mereka hingga mereka menjadi seperti kita (Muslim)”.

Baginda melanjutkan: “Melangkahlah ke depan hingga kamu memasuki tempat tinggal mereka lalu serulah mereka ke dalam Islam & beritahu kepada mereka tentang apa yang diwajibkan atas mereka. Demi Allah, bila ada satu orang saja yang mendapat petunjuk melalui dirimu maka itu lebih baik bagimu daripada unta-unta merah (yang paling bagus).”

[HR. Bukhari]

Hadis ini mengandungi banyak pelajaran. Antara lainnya, ia mengajar tentang etika dalam berperang. Ia perlu dimulai dengan kaedah diplomasi sebelum kaedah perang dilancarkan. Antara yang termasuk dalam kaedah diplomasi ialah menyeru kepada Islam, menyerahkan kawasan dengan aman & membayar jizyah. Apabila kempen perang dilancarkan, pelbagai taktik digunakan terlebih dahulu sebelum senjata diangkat. Antaranya termasuklah mengepung kota, menyekat bekalan air & makanan ke dalamnya, menghalang kedatangan tentera bantuan oleh sekutu musuh dari luar, & melakukan muslihat untuk menunjukkan ramainya tentera yang hadir bagi mewujudkan perasaan gerun dalam hati tentera musuh. Malah selama perang masih berlangsung pun, kaedah diplomasi masih diteruskan. Ini bagi mengurangkan kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa terutamanya di kalangan orang awam.

SECEBIS KISAH SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Dalam kisah pembukaan Kota Konstantinopel, Sultan Muhammad al-Fateh menghantar utusan kepada Maharaja Constantine supaya menyerahkan kota itu secara aman. Apabila beliau enggan, kota itu mula dikepung & siri-siri serangan menggunakan pelbagai taktik mula dilancarkan, dari darat & juga dari laut.

Kota Konstantinopel telah dikepung & diserang selama 53 hari sebelum pembukaannya pada 29 Mei 1453. Dalam tempoh tersebut, sekurang-kurangnya 4 utusan dihantar kepada Maharaja Constantine supaya menyerahkan kota secara aman, dengan utusan yang ke-4 dihantar sebelum serangan terakhir pada 28 Mei 1453 dilancarkan.

Fakta-fakta ini terkandung dalam buku ‘Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh’, karya penulis tempatan, Muhammad Syaari Abdul Rahman, terbitan PTS Millenia, 2011. Antara yang menjadi rujukan beliau dalam menulis buku ini adalah karya Syeikh Dr. Ali Muhammad ash-Shallabi, yang diterjemahkan oleh Samson Rahman dengan tajuk ‘Bangkit & Runtuhnya Khilafah Usmaniah’, terbitan Pustaka al-Kauthar. Dalam bukunya, Muhammad Syaari melakarkan kisah yang terjadi apabila utusan terakhir Sultan Muhammad al-Fateh dihantar kepada Maharaja Costantine:

Apabila utusan itu sampai kepadanya, Maharaja Costantine berbincang dengan para menterinya. Ada yang mencadangkan supaya mereka menyerah kalah & ada pula yang mahukan pertahanan diteruskan sehingga ke titisan darah terakhir.

Maharaja Costantine akhirnya bersetuju dengan pandangan kedua. Beliau lantas menghantar maklum balas kepada Sultan Muhammad al-Fateh dengan kata-katanya yang terkenal, “Syukur kepada Tuhan kerana Sultan Muhammad al-Fateh mahukan keamanan & bersedia menerima pembayaran jizyah. Namun Costantine bersumpah terus bertahan sehingga ke akhir hayatnya demi takhta ataupun mati sahaja & dikuburkan di kota ini!”

Apabila jawapan Maharaja Costantine ini diterima, Sultan Muhammad al-Fateh menjawab, “Baik… Tidak lama lagi terhasil di Konstantinopel itu sama ada takhta ataupun keranda.”

istanbul1140op
Selat Bosphorus yang memisahkan Istanbul (nama Kota Konstantinopel di era moden), sekaligus memisahkan Turki yang timurnya berada di benua Asia & baratnya berada di benua Eropah. 

Perincian kepada perjuangan Sultan Muhammad al-Fateh sehingga berjaya membuka Kota Konstantinopel boleh ditekuni dalam buku ‘Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh’. Penulisnya mengumpulkan fakta, membuat analisis, & menyusun kisah perjuangan Sultan Muhammad al-Fateh berdasarkan aspek & sudut yang pelbagai, & bukannya secara kronologi sebagaimana lazimnya buku sejarah ditulis. Buku ini ditulis dengan sangat cermat & mudah difahami logiknya oleh pembaca. Cuma terdapat hal-hal yang perlu diperhalusi, terutama apabila cuba mengambil ibrah daripada peristiwa yang berlaku untuk diaplikasikan dalam situasi semasa di tanahair.

Kita kembali semula kepada perbincangan mengenai hadis di permulaan tulisan ini. Pelajaran lain yang boleh diambil daripada hadis ini ialah mengenai petunjuk (hidayah) daripada Allah SWT.

HIDAYAH ADALAH HAK MILIK MUTLAK ALLAH SWT

Hidayah untuk memahami & menerima Islam adalah hak milik Allah SWT secara mutlak. Dia Memberikan hidayah kepada sesiapa yang Dikehendaki-Nya, & Menahannya daripada sesiapa yang Dikehendaki. Allah juga boleh Mencabutnya daripada sesiapa sahaja yang Dikehendaki-Nya.

Firman Allah SWT:

al-qashash-28_56

Sungguh, engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah Memberi petunjuk kepada orang yang Dia Kehendaki, & Dia lebih Mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.

[Surah al-Qashash, 28: 56]

Ayat ini adalah berkenaan ketidakmampuan Nabi Muhammad s.a.w. untuk meyakinkan bapa saudara yang sangat Baginda kasihi, iaitu Abu Talib, untuk memeluk Islam. Bahkan sehingga akhir hayat Abu Talib, Rasulullah s.a.w. cuba untuk mengIslamkannya, namun tidak berjaya, lalu turun ayat ini kepada Baginda. Perkara seperti ini pernah berlaku kepada nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. iaitu kepada Nabi Nuh a.s. & Nabi Luth a.s., yang mana isteri mereka tidak termasuk dalam kelompok orang yang beriman, walaupun mereka hidup berdampingan dengan suami mereka yang dilantik sebagai Rasul oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

at-tahrim-66_10

Allah Membuat perumpamaan bagi orang-orang kafir, isteri Nuh & isteri Luth. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, tetapi kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari (seksa) Allah; & dikatakan (kepada kedua isteri itu), “Masuklah kamu berdua ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka).”

[Surah at-Tahrim, 66: 10]

Daripada artikel atas talian berjudul ‘Hidayah Milik Allah‘, tulisan Rian Permana, dimuatkan tafsir ayat 56 Surah al-Qashash daripada 2 orang ulama sepertimana berikut:

1) Ibnu Katsir mengatakan mengenai tafsir ayat ini, “Allah mengetahui sesiapa saja dari hambanya yang layak mendapatkan hidayah, dan sesiapa saja yang tidak layak mendapatkannya”.

2) Syaikh Muhammad ibnu Shalih Al-Utsaimin menerangkan, “Hidayah di sini maknanya adalah hidayah petunjuk dan taufik. Allah SWT berikan hidayah ini kepada orang yang layak mendapatkannya, kerana segala sesuatu yang dikaitkan dengan kehendak Allah SWT, maka mesti mengikuti hikmah-Nya.”

Ayat ini juga mengandungi pelajaran yang penting kepada para pendakwah Islam daripada pelbagai aliran. Keberhasilan dakwah yang mereka usahakan yang mana terzahir melalui ramainya pengikut ataupun tersebar-luasnya pengaruh dakwah mereka di dalam masyarakat adalah hakikatnya kurniaan daripada Allah SWT semata-mata. Usaha-usaha yang dilakukan oleh para pendakwah Islam ini sedikit pun tidak mampu mendatangkan hasil yang sedemikian rupa.

Hal ini penting untuk difahami & dihayati supaya tidak terdetik dalam hati pendakwah Islam rasa ujub, sombong & riak apabila dakwahnya mula diterima & disambut oleh orang ramai. Insha-Allah, ada ganjaran pahala yang berkekalan jika niat seseorang itu melakukan dakwah adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Sebaliknya, dikhuatiri jika niat para pendakwah adalah untuk mengumpulkan ramai pengikut, ataupun mencari kedudukan & pengaruh dalam masyarakat, ataupun tujuan-tujuan dunia yang lain, maka tiada ganjaran pahala untuk usaha yang dilakukannya itu, walaupun tujuan-tujuan dunia itu diperolehinya.

Peringatan ini juga adalah untuk diri saya sendiri.

TERBUKANYA PELUANG BAGI MERAIH GANJARAN

Walaupun hidayah adalah hak milik mutlak Allah SWT, namun umat Islam dianjurkan untuk berusaha menyampaikan dakwah kepada orang bukan-Islam, bahkan yang lebih utama ketika ini adalah berusaha memahamkan ajaran Islam kepada orang-orang awam yang beragama Islam itu sendiri. Ganjaran yang besar menanti setiap yang berdakwah seandainya usahanya itu menjadi sebab seseorang manusia yang lain Dikurniakan hidayah oleh Allah SWT, sebagaimana dijelaskan dalam hadis di awal tulisan ini.

Lazimnya, dalam konteks berdakwah kepada orang bukan-Islam, peluang untuk mendapatkan ganjaran yang lebih baik daripada unta merah ini hanya terbuka kepada mereka yang melakukan dakwah secara terus kepada orang bukan-Islam, sama ada secara individu seperti Dr. Zakir Naik, mahupun melalui organisasi seperti MACMA & Hidayah Centre.

Namun berdasarkan keadaan semasa ekonomi dunia yang masih belum pulih daripada krisis ekonomi 2008, pada hemat saya, semua orang Islam di Malaysia secara amnya mempunyai peluang untuk mendapatkan ganjaran seumpama ini, melalui cara dakwah yang dilaksanakan secara tidak langsung (indirect method).

JAMINAN KEMAKMURAN EKONOMI DARI ALLAH SWT

Berpandukan ayat-ayat al-Quran yang berikut, terdapat jaminan keberkatan & kemakmuran ekonomi sekiranya kita memohon keampunan atas dosa yang dilakukan, serta benar-benar beriman (iaitu keyakinan dalam hati & beramal soleh) & bertakwa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

al-araf-7_96

Dan sekiranya penduduk negeri beriman & bertakwa, pasti Kami akan Melimpahkan kepada mereka berkah dari langit & bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami Seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.

[Surah al-A’raf, 7: 96]

Firman Allah SWT dalam surah yang lain:

nuh-71_10-12

Maka aku berkata (kepada mereka),”Mohonlah ampunan kepada Tuhan-mu, sungguh, Dia Maha Pengampun; nescaya Dia akan Menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu; & Dia Memperbanyak harta & anak-anakmu, & Mengadakan kebun-kebun untukmu & mengadakan sungai-sungai untukmu.”

[Surah Nuh, 71: 10-12]

Ini adalah dakwah bil hal ataupun dakwah bil qudwah, yang jika berjaya dilaksanakan, akan meninggikan syiar Islam & menonjolkan kebenaran ajaran Islam itu sendiri!

rice-terraces1140op
Gambaran tanaman yang subur & menjadi lantaran keberkatan yang Dicurahkan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang beriman & bertakwa.

Dengan teknologi informasi & komunikasi yang ada pada hari ini, sebarang berita dari ceruk mana pun dapat tersebar di serata dunia dengan cepat & meluas. Apatah lagi jika berita itu bersifat sensasi & luar biasa! Sekiranya dengan izin Allah, ekonomi Malaysia menjadi makmur & kekayaan Malaysia melimpah ruah, pasti negara yang ekonominya merundum ataupun bankrap ingin mempelajari rahsia di sebalik kemakmuran tersebut. Pada waktu itulah ruang dakwah yang luas akan terbuka, insha-Allah, & memungkinkan mereka yang terlibat dalam projek ekonomi Islam ini mendapat ganjaran yang lebih baik daripada unta merah.

PERSOALAN TERAS

Terdapat 2 persoalan penting di sini.

Persoalan pertama: Apakah cara praktikalnya, atau dengan lebih spesifik, amalan soleh apakah yang perlu dilakukan?

Jawapan kepada persoalan ini akan saya kemukakan di perkongsian yang lain bersama-sama dengan penjelasan tentang waqi’ semasa yang dihadapi oleh umat Islam, insha-Allah. Berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran, hadis, sejarah tamadun Islam, logik akal & penelitian kepada waqi’ semasa, amalan soleh ini adalah solusi komprehensif terhadap banyak masalah yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.

Hint: Amalan soleh tersebut sentiasa diulang-ulang dalam al-Quran, kebanyakannya berdampingan dengan perintah untuk mengerjakan solat. Namun kita perlu memahami beberapa konsep lain yang tidak kurang penting agar kita memiliki keyakinan yang tidak berbelah bagi untuk mengerjakan amalan itu, & supaya ganjaran kepada amalan tersebut tersimpan di akhirat kelak. Kita juga perlu memiliki kesabaran serta kesanggupan untuk melalui kesusahan sebelum Allah menunaikan janji-Nya.

Persoalan kedua: Siapakah atau bangsa manakah yang mungkin akan tertarik dengan projek ekonomi Islam ini jika ianya berjaya?

Jawapan: Penerangan berikut hanyalah satu kemungkinan sahaja. Kerana tiada siapa yang tahu perkara yang akan terjadi pada masa hadapan kecuali Allah SWT. Hanya Dia yang Memiliki pengetahuan tentang perkara-perkara yang bersifat ghaib. Dan masa hadapan adalah satu hal yang bersifat ghaib kecuali apa-apa yang diwahyukan oleh Allah SWT dalam al-Quran & juga yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Semua bangsa yang mengalami masalah ekonomi pada waktu ini berpotensi untuk tertarik kepada penyelesaian yang Allah Janjikan ini. Namun terdapat satu bangsa yang ada diceritakan dalam hadis tentang peristiwa akhir zaman, yang akan memeluk Islam dengan ramainya. Hadis-hadis yang menceritakan peristiwa akhir zaman wajar kita berikan perhatian pada waktu ini, kerana kekacauan & peperangan yang berlaku di Timur Tengah mengisyaratkan bahawa peristiwa-peristiwa besar (tanda-tanda besar kiamat) bakal menyusul tidak lama lagi.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Aku diutus & kiamat seperti dua (jari) ini.
Anas berkata: Baginda melekatkan jari telunjuk & jari tengah.

[HR. Muslim]

Jika selang masa antara zaman Rasulullah s.a.w. & hari kiamat adalah sedemikian rapat, mungkin selang masa antara zaman kita & hari kiamat adalah seperti panjangnya hujung kuku yang belum dipotong! Maka wajarlah untuk kita bersegera mengerjakan amal kebajikan.

Adapun bangsa yang mungkin akan memeluk Islam melalui kebenaran yang terserlah melalui kemakmuran ekonomi Islam ialah bangsa Rom, yang mana mereka adalah keturunan Nabi Ishak. Antara kualiti yang mereka miliki ialah sikap yang baik terhadap orang-orang miskin & orang-orang yang lemah di kalangan mereka. Malah terdapat hadis yang mengatakan bahawa bangsa Rom yang telah memeluk Islam akan menakluk sebuah kota dengan hanya ucapan ‘Laa Ilaaha illAllah & Allahu Akbar‘. Ini adalah satu bentuk karamah yang Allah berikan kepada mereka.

Apakah agaknya amalan yang melayakkan mereka mendapat kelebihan yang sedemikian hebat? Mungkin ia berkait rapat dengan sikap baik yang mereka miliki, selain keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap Allah SWT. (Kaitan antara karamah (ataupun bantuan Allah) & sikap baik ini bukanlah kemungkinan, melainkan adalah satu kebenaran berdasarkan dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran & Sunnah. Akan saya terangkan dalam artikel yang lain, insha-Allah.)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Allah SWT berfirman, “Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada-Ku. Jika (ia) baik (sangka kepada-Ku), maka (Aku pun) baik (kepadanya), jika (ia) buruk (sangka kepada-Ku), maka (Aku pun) buruk (kepadanya).

[HR. at-Tabarani, al-Awsath, & Abu Nu’aim, sahih mengikut al-Albani]

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Janganlah salah seorang kalian mati kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah.

[HR. Muslim]

Pada pandangan saya, wAllahu a’lam, ada kemungkinan bangsa Rom yang dimaksudkan adalah dari kalangan penduduk Greece, yang mana kita ketahui negara mereka jatuh bankrap dalam krisis ekonomi dunia 2008 & masih belum pulih hingga ke hari ini. Kebanyakan (98%!) penduduk Greece pada waktu ini adalah penganut agama Kristian mazhab Ortodoks.

greek1140op
Bangunan Parthenon, bandaraya Athens & Teluk Saronic yang menjadi latar belakang di Greece.

Bandaraya Athens yang menjadi ibu negara Greece ketika ini, pernah berada di bawah pemerintahan Khalifah Uthmaniah yang diterajui oleh Sultan Muhammad al-Fateh, apabila komandan perangnya, panglima Umar bin Tarkhan berjaya membukanya. Selepas 2 tahun pembukaan Athens, Sultan Muhammad al-Fateh melawat kota itu & berkata, “Besar hutang Islam kepada Ibnu Tharkhan.” Perkara ini tercatat dalam buku ‘Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh’.

BANGSA ROM, KETURUNAN NABI ISHAK

Hadis-hadis berkenaan bangsa Rom yang berikut dimuatkan dalam buku ‘Huru-Hara Hari Kiamat’, karya Ibnu Katsir (tajuk asal: ‘An-Nihayah: Fitanun wa Ahwalun Akhir Az-Zaman‘), terjemahan Ustaz Mohd Suhail, terbitan Al-Hidayah Publication, 2012.

Hadis pertama:

Dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah s.a.w.,”Sudahkah kamu mendengar sebuah kota, yang sebelah daripadanya ada di darat & sebelah lainnya ada di laut?”

Para sahabat menjawab,”Sudah, ya Rasulullah.”

Rasulullah s.a.w. bersabda,”Kiamat takkan terjadi sebelum kota itu diserbu oleh tujuh puluh ribu orang tentera dari anak keturunan Ishak. Apabila mereka telah datang ke kota itu, mereka singgah, tetapi tidak berperang dengan satu senjata pun, & tidak melemparkan satu anak panah pun. Mereka hanya mengucapkan, ‘Laa Ilaaha illAllah & Allahu Akbar’, maka jatuhlah salah satu dari kedua-dua belah kota itu. (Tsaur mengatakan, saya tidak tahu kecuali bahawa Rasulullah bersabda, “Belahan yang ada di laut.”) Kemudian mereka mengucapkan untuk kali keduanya, ‘Laa Ilaaha illAllah & Allahu Akbar’, maka jatuhlah belahan yang lain dari kota itu. Sesudah itu mereka mengucapkan pula untuk kali ketiganya, ‘Laa Ilaaha illAllah & Allahu Akbar’, maka terbukalah kota itu bagi mereka, sehingga mereka dapat memasukinya, lalu mendapatkan harta rampasan perang. Tatkala mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba terdengarlah, tiba-tiba terdengarlah teriakan meminta tolong yang mengatakan, ‘Sesungguhnya Dajjal benar-benar telah muncul.’ Oleh kerana itu, mereka pun meninggalkan apa sahaja, lalu pulang.”

[HR. Muslim]

Hadis kedua:

Al-Mustaurid Al-Quraisyi berkata di hadapan Amr bin Ash,”Pernah saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Kiamat akan terjadi di kala orang-orang Rom merupakan bangsa teramai.'”

Amr berkata kepada Al-Mustaurid,”Berhati-hatilah tentang apa yang akan kamu katakan itu!”

Al-Mustaurid menjawab,”Aku hanya mengatakan apa yang pernah aku dengar dari Rasulullah s.a.w.”

Amr berkata,”Sesungguhnya, jika apa yang kamu katakan itu benar, maka memang pada bangsa Rom itu benar-benar memiliki empat sifat: bangsa yang paling bijak ketika terjadi huru-hara, bangsa yang paling cepat sedar setelah ditimpa musibah, bangsa yang paling cepat menyerang kembali dalam peperangan setelah lari, & bangsa yang paling baik perlakuannya terhadap orang miskin, anak yatim, & orang yang lemah. Adapun sifat baik & indah yang kelima ialah, mereka adalah bangsa yang paling tahan terhadap kezaliman raja-raja.”

[HR. Muslim, atsar oleh Ahmad]

(Terdapat juga hadis-hadis lain yang menceritakan tentang berlakunya perdamaian di akhir zaman kelak antara orang Islam & orang Rom (yang beragama Kristian). Mereka berkerjasama untuk menewaskan musuh mereka, namun kemudiannya berlaku pertelingkahan sesama mereka, yang mengakibatkan berlakunya siri pertempuran yang sengit antara orang Islam & orang Rom selepas itu.)

Ibnu Katsir memberikan komentar mengenai kedua-dua hadis di atas & satu lagi hadis yang hampir sama isinya dengan hadis yang kedua:

Berita ini menunjukkan bahawa, bangsa Rom pada akhir zaman akan memeluk agama Islam. Boleh jadi ditakluknya kota Konstantinopel adalah di tangan sekumpulan dari mereka, sebagaimana dinyatakan oleh hadis tersebut di atas, bahawa kota itu akan diserbu oleh tujuh puluh ribu orang tentera keturunan Ishak. Ini kerana orang-orang Rom memang dari keturunan Al-‘Ash bin Ishak bin Ibrahim Al-Khalil. Mereka adalah sepupu (anak-anak bapa saudaranya) dari Bani Israel, yakni anak-anak keturunan Ya’kub bin Ishak.

Dengan demikian bangsa Rom pada akhir zaman akan lebih baik daripada Bani Israel. Dajjal akan diikuti oleh tujuh puluh ribu orang tentera dari kaum Yahudi Ashfahan. Mereka adalah penyokong Dajjal. Sedang sepupu mereka, yakni bangsa Rom ternyata telah mendapat pujian dalam hadis ini, sehingga boleh jadi mereka memeluk agama Islam di tangan Al-Masih Isa bin Maryam. Namun Allah S.W.T. jualah yang lebih tahu.

Maka bolehlah kita fahami bahawa mungkin juga Islamnya bangsa Rom adalah di tangan Nabi Isa apabila Baginda kembali kelak. Mungkin juga atas sebab-sebab lain, salah satunya sebagaimana yang saya huraikan di atas. WAllahu a’lam.

PENUTUP

Keutamaan kita umat Islam pada masa ini adalah untuk mengerjakan segala perintah Allah & meninggalkan perkara yang Dilarang-nya. Ganjaran yang lebih baik daripada unta merah itu insha-Allah bakal menjadi milik kita jika Allah telah Mentakdirkannya. Adapun urusan keIslaman bangsa Rom itu, kita serahkan dahulu kepada Allah SWT buat masa ini, sehingga nyata urusan tersebut kepada kita. Dia akan Mengatur urusan-Nya mengikut perancangan-Nya yang telah pun Ditetapkan di Luh Mahfuz.

Firman Allah SWT:

ali-imran-3_54

Dan mereka (orang-orang kafir) membuat tipu daya, maka Allah pun Membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.

Terjemahan dalam Bahasa Inggeris:

And they (disbelievers) plotted [to kill Isa (Jesus) a.s.], and Allah planned too. And Allah is the Best of those who plan.

[Surah Ali Imran, 3: 54]

WAllahu a’lam.


Nota:

Berkenaan kaedah mencapai sesuatu tujuan ataupun objektif ‘secara tidak langsung’ (indirect method), banyak boleh dipelajari daripada generasi awal Islam, terutama dalam mencapai maksud & tujuan duniawi. Mereka mengutamakan kesejahteraan dalam kehidupan akhirat berbanding balasan duniawi dalam segala amalan soleh mereka—yakni, antara lain termasuklah mengharapkan ganjaran pahala yang banyak, selamat daripada api neraka, serta antara kemuncak segala balasan iaitulah memasuki syurga (tanpa melalui hisab) yang mana bakal menjadi tempat tinggal mereka yang kekal abadi. Dengan itu, mereka sentiasa memerhati & memelihara niat mereka agar ikhlas semata-mata kerana Allah SWT sahaja, dengan mengharap keredhaan-Nya. Atas sebab itu, Allah SWT Mengurniakan kemuliaan & kejayaan kepada mereka semasa mereka masih hidup di dunia lagi. Hidup mulia atau mati syahid.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya & dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia).

Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah cerai-beraikan urusannya, & dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan hina).

[HR. at-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani]

Kaedah ini (indirect method) juga selari dengan firman Allah SWT yang berikut:

asy-syura-42_20

Barangsiapa menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami Tambahkan keuntungan itu baginya, & barangsiapa menghendaki keuntungan di dunia Kami Berikan kepadanya sebagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bagian di akhirat.

[Surah asy-Syura, 42: 20]

Insha-Allah, saya akan kupas konsep indirect method ini dalam satu artikel yang khusus.

WAllahu a’lam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s