Prakata III

Daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Ausin Al-Dari r.a., bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Agama itu nasihat.” Kami berkata: “Bagi siapa?” Baginda bersabda:”Bagi Allah & bagi Kitab-Nya & bagi Rasul-Nya & Imam-Imam (pemimpin) kaum Muslimin & bagi orang ramai mereka.”

[HR. Muslim]

Keseluruhan aktiviti penulisan dalam blog ini saya niatkan kerana Allah SWT dengan mengharapkan keredhaan dari-Nya. Semoga diterima-Nya sebagai suatu amalan yang soleh & ikhlas, serta dikurniakan pahala yang berpanjangan. Ini hanyalah satu amal yang kecil oleh makhluk-Nya yang kerdil dalam meneruskan usaha penyampaian ar-Risalah yang diturunkan kepada Rasul-Nya, & demi menegakkan makna kalimah syahadah yang ikrarnya sentiasa diperbaharui setiap kali kita bersolat.

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, & aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah.”

BINGKISAN UNTUK SEMUA

Tulisan-tulisan yang bakal dimuatkan dalam blog ini—yang sebahagiannya mungkin sukar dihadam kecuali yang pernah mengikuti tarbiyyah, serta yang banyak belajar & menelaah karya-karya ulamak—ditujukan kepada:

1. Keluarga terdekat: mama, mek, isteri, adik-beradik, ibu & bapa saudara, sepupu, ipar-duai, biras, & saudara terdekat yang lain. Terima kasih kerana bersabar dengan karenah saya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Maaf andai ada urusan yang tidak disempurnakan dengan baik. Khusus kepada mama, terima kasih kerana mendidik hati ini semasa kecil & begitu berhati-hati dalam soal sumber rezeki semasa tahun-tahun persekolahan. Khusus kepada isteri tersayang, terima kasih atas kesabaranmu menjalani kehidupan yang terdapat banyak kekurangan kerana kelemahan diri ini. Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran kepada kalian berdua.

2. Kedua-dua anak abi, & jika Dikurniakan Allah zuriat tambahan. Semoga masa hadapan kalian di bumi Malaysia ini dipenuhi dengan kebaikan serta keberkatan dari Allah SWT, agar lebih terjaga iman kalian.

3. Sahabat-sahabat yang pernah bergandingan & seiringan dalam mencari kebenaran, yang sekarang ini mungkin terpecah mengikut haluan masing-masing kerana sengitnya perang idealogi yang menimpa ummah—terutamanya dari jemaah tabligh, PAS, JIM (sekarang diserap ke dalam IKRAM) & ISMA, serta dari aliran salafi. Akan saya detilkan pengalaman bersama kalian dalam catatan yang lain jika berkesempatan & jika ada keperluan, insha-Allah.

4. Para murabbi, asatizah & guru yang pernah mentarbiyyah diri ini, melalui pelbagai sarana, formal & tidak formal—kelas pengajian, kuliah, usrah, daurah, jaulah, muktamar, mukhayyam, ataupun sarana dengan nama moden seperti seminar, kursus intensif, ToT & lain-lain lagi. Sebahagiannya mungkin hanya sesingkat 2 hingga 3 sesi pertemuan, namun ilmu yang kalian kongsikan tetap tersemai menjadi panduan.

5. Para murabbi & asatizah tempatan yang rajin menulis serta menyampaikan tazkirah untuk membimbing masyarakat, sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Usaha sebegini adalah daripada pelbagai aliran—terutamanya salafi, ikhwan, & mutakhir ini daripada aliran sufi, juga daripada parti politik mahupun NGO Islam yang pelbagai. Walaupun kita tidak pernah bersua muka, namun mutiara berharga daripada usaha kalian saya kutip untuk dijadikan bekalan; & tidaklah saya bezakan ilmu dari aliran yang pelbagai, asalkan ada nas yang menjadi sandaran.

6. Para murabbi ummah di peringkat antarabangsa & para penterjemah karya-karya mereka. Sesungguhnya dalam karya-karya mereka terkandung banyak hujah, nasihat & pengajaran yang baik.

7. Sahabat handai & kenalan terdekat yang mungkin tidak berkesempatan untuk menghayati ajaran Islam dengan baik lantaran kesibukan urusan harian, namun sentiasa menginginkan kebaikan untuk umat Islam, di Malaysia khususnya, & di seluruh dunia amnya. Tulisan yang bakal dimuatkan di sini mungkin sedikit berat untuk kalian.

8. Warga Malaysia, termasuk pemimpin negara & pemimpin parti politik, khususnya yang beragama Islam, yang betul-betul mengimpikan terbentuknya sebuah negara yang aman & makmur.

9. Kumpulan nasyid, terutamanya Raihan (dahulunya The Zikr) & Hijjaz (dahulunya sebahagian daripada Nada Murni). Terima kasih atas lagu-lagu nasyid—khasnya yang menghiasi tanahair dalam era kebangkitan semula genre nasyid pada tahun 90-an—yang liriknya mampu menghidupkan jiwa & sentiasa menjadi teman memberi peringatan, serta pembangkit semangat tatkala diri ini terleka.

10. Umat Islam di seluruh dunia, yang selalu mendoakan kebangkitan semula Islam, agar terbela nasib mereka daripada penindasan pihak yang zalim.

KERINDUAN KEPADA SEBUAH PERPADUAN

Kepada semua—terutamanya sahabat-sahabat yang memperjuangkan Islam dalam platform & aliran yang berbeza—, pertelingkahan antara kita harus dihentikan. Keadaan ummah terlalu parah, terutamanya di Timur Tengah, untuk kita terus selesa di tanahair ini, dalam keadaan bercakaran sesama sendiri. Selagi kita tidak bersatu-padu, selagi itulah musuh Islam akan mempunyai peluang untuk mengadu-domba sesama kita serta mencaturi urusan kita, demi mencapai & menjaga kepentingan mereka.

brick-wall1140op
Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. [Surah ash-Shaff, 61: 4]

 

Hiruk-pikuk dalam percaturan politik yang berlaku dewasa ini di tanahair sangat memilukan hati. Apatah lagi yang terlibat adalah sesama kumpulan yang memperjuangkan Islam. Malah pihak yang menjadi musuh politik kumpulan-kumpulan ini juga mula menunjukkan kecenderungan untuk menerapkan ajaran Islam dalam pemerintahan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Semboyan perpaduan turut dilaungkan. Namun, kelihatan seolah-olahnya emosi lebih mempengaruhi kerasionalan akal ramai pihak, berbanding iman di dada. Faktor sejarah juga menjadi hujah untuk tidak menyahut semboyan itu.

Terasa seperti ingin dipanjat sebuah bukit & menjerit kepada semua pihak yang sedang bercakaran: “Berhentilah bergaduh wahai sahabat! Ayuh kita meneliti kembali & menghayati segala prinsip & ajaran yang terkandung dalam al-Quran & Sunnah! Lupakan seketika perbezaan kita!”

Dalam suasana semasa, hal yang sedemikian itu seakan-akannya sangat sulit untuk dilaksanakan. Namun usaha ke arah penyatuan & perpaduan umat Islam perlu juga direncanakan & diteruskan semampu yang boleh.

Firman Allah SWT:

al-hujurat-49_10

Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) & bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.

[Surah al-Hujurat, 49: 10]

Seboleh-bolehnya saya tidak ingin hanya beretorik dalam tulisan di blog ini. Akan saya cuba kemukakan punca kepada kebanyakan masalah yang sedang kita hadapi pada zaman kita ini berserta dengan solusi yang praktikal. Sahabat yang membaca boleh untuk tidak bersetuju dengan apa yang bakal dikongsikan, namun jagalah adab dalam mengemukakan hujah balas. Elakkan caci-mencaci, label-melabel & penggunaan kata-kata yang kesat.

Semoga Allah jadikan tulisan-tulisan yang bakal dimuatkan dalam blog ini suatu hujah yang boleh mendamaikan pihak-pihak yang sedang bertelagah.

Dan mudah-mudahan di fasa-fasa terakhir penulisan ini nanti, kita sama-sama dapat membaca, memahami & menghayati firman Allah SWT yang berikut:

ali-imran-3_103

Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, & janganlah kamu bercerai-berai, & ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah Mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah Menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah Menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

[Surah Ali Imran, 3: 103]

Saya hanya mampu berusaha dengan kemampuan & kefahaman yang terbatas, yang dikurniakan Allah SWT kepada saya. Dan hanya kepada Allah saya kembalikan segala urusan.

Semoga tulisan di blog ini dapat menyentuh hati-hati sahabat yang membaca, & semoga Allah berikan petunjuk & hidayah kepada kita semua dalam menghadapi cabaran yang sangat hebat di akhir zaman ini. Dan semoga Allah Menyatukan & Meneguhkan hati-hati kita di atas jalan-Nya yang lurus.

Daripada Anas bin Malik r.a., dia berkata, “Rasulullah s.a.w. memperbanyak mengucapkan:

“Wahai Dzat yang Membolak-balikkan hati, Tetapkanlah hatiku atas agama-Mu.”

Aku bertanya,”Wahai Nabiyullah, kami telah beriman kepadamu & kepada apa yang engkau bawa, apakah engkau masih mengkhuatirkan kami?”

Nabi bersabda, “Ya. Sesungguhnya hati berada di antara dua jari dari jari-jari Allah. Dia akan Membolak-baliknya sebagaimana Dia Kehendaki.”

[HR. At-Tirmidzi & Al-Hakim]

Jika ada manfaat daripada tulisan ini, sila kongsikan. Semoga kebaikan darinya tersebar dengan meluasnya, insha-Allah.

WAllahu a’lam.


Nota:

1. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum TG Dato’ Dr. Haron Din yang meninggal dunia pada 16 September 2016 (waktu pagi di Kuala Lumpur, Malaysia) ataupun 15 September 2016 (waktu malam di San Francisco, AS) yang lalu. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan yang Dirahmati & Diredhai Allah SWT.

2. Hadis yang dimuatkan pada awal tulisan ini adalah hadis yang ke-7 daripada 42 hadis yang dikumpulkan oleh Imam an-Nawawi. Kesemua 42 hadis tersebut mengandungi intipati ataupun prinsip-prinsip yang penting dalam ajaran Islam.

Dalam buku ‘The Complete Forty Hadith‘, yang diterjemah oleh Abdassamad Clarke, terbitan Ta-Ha Publishers, London, dituliskan dalam nota tambahan berkenaan hadis di atas bahawa: “An-naseehah means both sincerity and good advice.” (Terjemahan: An-naseehah membawa kedua-dua makna, keikhlasan & nasihat yang baik.) Disertakan juga di awal komentar hadis ini asal perkataan ‘an-naseehah’ dalam Bahasa Arab, iaitu ‘nash’, yang memberi 2 makna berikut:

i) Perbuatan menjahit pakaian yang terkoyak.
ii) Perbuatan menapis (purify) madu daripada sarang lebah (wax).

Kedua-dua asal perkataan ‘an-naseehah’ ini juga ada disebut dalam buku ‘Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)’, yang diterjemah oleh Ustaz Mustafa ‘Abdul Rahman, terbitan Dewan Pustaka Fajar. Ia diterangkan dengan maksud yang berikut:

i) Dalam pengertian yang pertama, perbuatan memberi nasihat mendatangkan kebaikan kepada orang yang dinasihati sepertimana perbuatan menjahit memperbaiki pakaian yang terkoyak.
ii) Dalam pengertian yang kedua, perbuatan memberi nasihat perlulah menggunakan perkataan yang dipilih & dihalusi dengan baik, serta ikhlas & bersih daripada maksud yang tidak baik sepertimana perbuatan menapis madu daripada sarang lebah.

Dalam terjemahan & seluruh syarah hadis ini, Ustaz Mustafa menggunakan perkataan ‘nasihat’ (good advice) bagi menggantikan perkataan ‘an-naseehah’, yang berdasarkan pengertian pertama.

Manakala dalam terjemahan oleh Abdassamad Clarke, beliau menggunakan perkataan ‘sincerity’ (keikhlasan) bagi menggantikan perkataan ‘an-naseehah’, yang berdasarkan pengertian kedua.

Keikhlasan dapat difahami sebagai kejernihan niat dalam melakukan sebarang perbuatan (bukan perbuatan memberi nasihat sahaja), semata-mata kerana Allah & demi mengharap keredhaan-Nya, serta suci daripada sebarang bentuk kekotoran yang bersifat ganjaran duniawi. Ini tentunya mengingatkan kita tentang hadis yang pertama dalam koleksi hadis 40, yang mana bahagian awalnya bermaksud:

Hanya segala amal dengan niat, & hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan.

[HR. Bukhari & Muslim]

Berikut adalah terjemahan hadis dalam Bahasa Inggeris yang diambil dari buku ‘The Complete Forty Hadith‘:

From Abu Ruqayyah Tamim bin Aws Ad-Dari, may Allah be pleased with him, that the Prophet, may Allah bless him & grant him peace, said, “The deen is sincerity.” We said, “For whom?” He said, “For Allah, His Book, His Messenger, the leaders of the Muslims and their generality.”

[Muslim narrated it.]

(Perhatikan juga bahawa, terjemahan dalam Bahasa Inggeris ini mengekalkan istilah ‘deen‘, & tidak diterjemahkan kepada istilah ‘religion‘. Hal ini kerana istilah ‘deen‘ dalam Bahasa Arab memiliki makna yang lebih luas & komprehensif berbanding istilah ‘religion‘ dalam Bahasa Inggeris.)

Pada pendapat saya, an-naseehah dalam pengertian ‘keikhlasan’ memberikan suatu dimensi tambahan dalam memahami hadis ini. Ia tidaklah menafikan malahan melengkapi pengertian ‘nasihat’ yang sering digunakan apabila berbincang tentang hadis ini. Syarah hadis ini dengan pengertian ‘keikhlasan’ juga lebih mudah diikuti & difahami, khususnya bagi kita yang bertutur dalam Bahasa Melayu. Sebagai contoh: ‘keikhlasan kepada Allah’ lebih mudah difahami berbanding ‘nasihat bagi Allah’.

WAllahu a’lam.

3. Perkataan ‘nash‘ juga adalah kata akar kepada perkataan ‘nasuha’, yang sering kita dengar dalam istilah ‘taubat nasuha’.

Firman Allah SWT:

at-tahrim-66_8-part

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya (taubat nashuha)…

[Surah at-Tahrim, 66: 8]

Dalam buku ‘Induk Pensucian Diri’ (judul asal dalam Bahasa Arab: ‘Al-Mustakhlas fi Tazkiatin-Nafsi‘), karya Said Hawwa, & diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait & M. Abdai Rathomy, terbitan Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, di bawah subtopik ‘Wajibnya Bertaubat & Keutamaannya’, terdapat ulasan tentang makna taubat nasuha. Petikannya adalah seperti berikut:

“Makna kata nashuha ialah murni, ertinya dengan penuh keikhlasan hati semata-mata kerana Allah azzawajalla saja dalam taubatnya, yakni bukan kerana adanya takut, atau diancam orang & lain-lain lagi. Jadi lepas atau sunyi dari segala macam percampuran. Kata ini diambil dari ‘nush-hun‘, yang ertinya menasihati diri sendiri untuk tidak mengulangi perbuatan buruk lagi, berupa kemaksiatan atau sebab kelalaian, baik yang dilakukan sebelum ini, juga berjanji tidak akan berbuat keburukan lagi, yang berupa apa pun juga sesudah bertaubat.”

4. Berkenaan niat dalam melakukan sesuatu amalan, kita perlu berhati-hati & sentiasa memeriksa & memperbaharui niat kita, agar ia sentiasa ikhlas kerana Allah SWT semata-mata, sambil mengharapkan balasan yang baik di akhirat nanti. Hal ini adalah penting untuk diperhatikan agar segala amalan yang dilakukan di dunia ini tidak menjadi amalan yang sia-sia, lantaran kerana tiada ganjaran tersimpan di akhirat.

Firman Allah SWT:

asy-syura-42_20

Barangsiapa menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami Tambahkan keuntungan itu baginya, & barangsiapa menghendaki keuntungan di dunia Kami Berikan kepadanya sebagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bagian di akhirat.

[Surah asy-Syura, 42: 20]

WAllahu a’lam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s